Kumpulan pendokong reformasi akan meneruskan rancangannya untuk mengadakan Perhimpunan Black 14 secara aman di perkarangan pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) jam 2 petang esok.

Semalam, Badan Bertindak Penyelewengan PRU-11 Barisan Alternatif (BA), telah menangguhkan perhimpunan rakyat bagi membantah keputusan pilihanraya umum ke-11, yang dijadual diadakan di tempat yang sama esok.

Exco Pemuda Keadilan, Azwanddin Hamzah memberitahu malaysiakini , pihaknya akan meneruskan perhimpunan itu sempena tarikh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara bagi kesalahan salahguna kuasa pada 14 April 1999.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya datang menghadiri perhimpunan tersebut dengan berpakaian hitam sebagai tanda sokongan terhadap usaha mendapat kebebasan Anwar.

Anwar sudah menjalani hukuman penjara atas tuduhan salahguna rasuah dan kini sedang menunggu keputusan mahkamah berhubung rayuannya terhadap hukuman bagi kesalahan liwat. Hukuman penjara bagi kesalahan tersebut akan tamat pada tahun 2009.

Sebelum ini, kata Azwanddin, pihaknya akan bersama-sama menyertai perhimpunan rakyat anjuran Badan Bertindak Penyelewengan PRU-11 BA, bagi membantah keputusan pilihanraya yang baru lalu.

Bagaimanapun, menurut timbalan pengerusi badan berkenaan, Abdul Rahman Othman, tarikh perhimpunan itu akan dipindahkan ke tarikh pihaknya mengemukakan saman terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Kerajaan Barisan Nasional berhubung keputusan pilihanraya umum 2004.

Godam

Kata Abdul Rahman, para peguam yang mewakili badan tersebut akan menentukan tarikh yang sesuai untuk mengemukakan saman tersebut.

Bagaimanapun, Ceramah Perdana di Markas PAS di Taman Melewar esok diteruskan sepertimana yang dijadualkan.

Sementara itu, Azwanddin juga berkata, lamanweb Black 14 telah godam pada 14 April lalu di mana kandungan dalam notis jemputan ke perhimpunan Black 14 di Suhakam esok, telah ditokoh tambah.

"Perbuatan itu amat kami kesalkan kerana pegodam berkenaan telah menambah kandungannya dengan meminta orang ramai hadir dengan membawa senjata, seolah-olah penganjur perhimpunan esok mempunyai niat untuk mencetuskan kekacauan," tambahnya.

Katanya, notis jemputan tersebut mula disiarkan dalam lawanweb tersebut pada 12 April yang lalu untuk makluman para pendokong reformasi dan orang ramai.

"Dalam notis jemputan kami menyatakan dengan jelas bahawa ia adalah satu perhimpunan aman. Bagaimanapun, dua hari kemudiannya, saya diberitahu kandungannya telah ditokok tambah sedemikian rupa. Bagaimanapun, kami telah memadamkan tambahan tersebut," tambahnya.

Semalam, Berita Harian memetik Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mustafa Abdullah sebagai berkata mereka yang menyertai perhimpunan di pejabat Suhakam esok akan ditahan, kerana ia tidak mendapat permit polis dan bermotif untuk menimbulkan suasana huru-hara.

Menurut, sejak kebelakangan ini ada khabar angin yang disampaikan sama ada melalui Internet atau risalah yang meminta penyokong reformasi menyertai perhimpunan tersebut.

"Kalau betul nak hantar memorandum bantahan, tak perlu beramai-ramai, cukup dua atau tiga orang sahaja," katanya ketika mengulas khabar angin melalui lamanweb www.black14.net yang meminta penyokong reformasi supaya menyertai perhimpunan tersebut esok.