Naib presiden Umno Tan Sri Muhamad Muhd Taib dijangka tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti akan datang dan akan dilantik sebagai setiauasaha agung Umno yang baru.

Bekas Menteri Besar Selangor itu disebut-sebut sebagai calon terbaik untuk menggantikan Tan Sri Khalil Yaakob yang dijangka melepaskan jawatan tersebut tidak lama lagi.

Walaupun sebelum ini, ramai yang menjangka Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Radzi Sheikh Ahmad dilantik memegang jawatan tersebut, tetapi perkembangan terbaru menunjukkan jawatan tersebut akan diberikan kepada Muhd Taib.

Ini berikutan kedudukan Muhd Taib yang tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan dan ini pasti menyukarkan beliau untuk mempertahankan jawatan naib presiden yang disandangnya sekarang.

Walaupun beliau dilantik sebagai ketua penaja Umno bahagian Kelana Jaya, tetapi beliau tidak dipilih bertanding dalam pilihanraya umum yang baru lalu.

Taat

"Seandainya beliau gagal mempertahankan jawatan naib presiden, maka akan berakhirnya karier politiknya dalam Umno. Dan pada masa yang sama Umno sendiri akan kehilangan seorang pemimpin yang memang diakui ramai sebagai seorang yang amat taat kepada parti," kata seorang pemimpin yang rapat dengan Muhd Taib.

"Setahu saya, beliau tidak pernah sekalipun bersungut apabila tidak terpilih bertanding dalam pilihanraya umum 1999 dan juga pilihanraya umum yang baru lalu, walaupun ada juga penyokongnya yang tidak senang kerana menganggap seolah-olah beliau telah diketepikan oleh pucuk pimpinan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, Muhd Taib tidak pernah kecewa malah sentiasa menunjukkan komitmennya kepada Umno dan seringkali dipilih sebagai penyalaras pilihanraya kecil yang diadakan sebelum ini.

Ada juga yang berpendapat bahawa karier politik Muhd Taib sudah sampai ke puncaknya dan kini sudah tiba masanya untuk beliau memberi laluan kepada muka-muka baru.

"Memandangkan kedudukan para menteri besar yang kukuh di negeri masing-masing, kami menjangka akan berlaku perubahan kepada barisan kepimpinan dalam pemilihan parti akan datang," kata seorang pemimpin Umno bahagian.

Malah, katanya, ramai yang menjangka 'kelab MB" akan mengemukakan mereka bagi jawatan naib presiden dan ketua pemuda Umno.

Pertandingan

"Kelab MB ini boleh mencalonkan dua orang bagi bertanding jawatan naib presiden, ataupun mencalon seorang sahaja bagi naib presiden dan seorang lagi untuk jawatan ketua pemuda.

"Dan pada masa yang sama, mereka boleh menawarkan sokongan kepada ketua Pemuda Umno sekarang, Hishammuddin Hussein untuk bertanding satu lagi jawatan naib presiden," katanya.

Menurut beliau, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru yang menyerahkan kepada parti untuk menentukan kedudukan jawatan penting parti, termasuk presiden dan timbalan presiden, menunjukkan beliau pentingkan amalan demokrasi dalam Umno.

"Saya melihat ini sebagai isyarat daripada Abdullah yang mahu menyerahkan kepada ahli-ahli parti untuk menentukan jawatan-jawatan yang perlu dipertandingkan atau tidak," tambahnya.

Berikutan itu, beliau menjangka akan berlaku banyak pertandingan bagi jawatan penting parti di peringkat cawangan, bahagian dan juga di peringkat Majlis Tertinggi.

"Bagaimanapun, saya secara peribadi merasakan tidak perlu adanya pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno. Lagi pula pertandingan bagi jawatan naib presiden dan ketua pemuda sendiripun saya rasa sudah cukup hebat....," tambahnya.