Kerajaan mesti membuat peraturan ketat yang menghadkan pergaulan di antara jurulatih lelaki dengan peserta perempuan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Ketika mencadangkan demikian, Setiauasaha Teras Pengupayaan Melayu ( Teras) Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, sekarang jurulatih bebas keluar masuk ke khemah peserta program tersebut.

Keadaan menjadi lebih buruk lagi apabila pemilihan jurulatih PLKN kali ini tidak melalui tapisan yang ketat dari segi akhlak dan moral, katanya ketika dihubungi malaysiakini .

Oleh itu, katanya, langkah segera yang perlu diambil bagi menyekat berlakunya lagi perkara sumbang dan yang tidak diingini seperti dakwaan kejadian peserta dirogol di Kem PLKN di Marang, Terengganu.

Dalam kejadian tersebut, polis telah menahan seorang jurulatih lelaki berusia 29 tahun Rabu lalu selepas peserta tersebut membuat aduan di Balai Polis Puchong mengenai kejadian tersebut.

Gangguan seksual

Peserta tersebut mendakwa yang dia dirogol dalam kereta jurulatih itu pada 28 Februari lalu selepas menumpangkannya untuk ke bank.

Sementara itu, Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) pula mahu pihak berkuasa mewujudkan dasar anti-gangguan seksual untuk dikuatkuasakan di semua tempat termasuk di Kem PLKN.

Pengarah Eksekutifnya, Ivy Josiah berpendapat, tanpa dasar seumpama itu, lelaki yang berkuasa dapat melakukan gangguan seksual terhadap wanita.

"Pihak berkuasa harus mengambil iktibar daripada kejadian ini dan memberi amaran kepada semua jurulatih PLKN supaya kejadian gangguan seksual tidak berulang," katanya kepada malaysiakini .

Menurutnya lagi, jurulatih perlu diberi amaran sejak awal lagi supaya tidak menyalahgunakan kuasa dan kedudukan mereka kerana perbuatan seumpama itu boleh menghilangkan keyakinan ibu bapa terhadap PLKN.

Percampuran

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya satu mekanisme diwujud bagi memboleh para peserta terus membuat aduan jika timbul sebarang masalah untuk diselesaikan dengan segera.

Sementara itu, Presiden Ikatan Siswazah Muslim Malaysia, Abdul Rahman Mt Ali berkata kejadian tersebut memperlihatkan seolah-olah pihak berkenaan memandang mudah terhadap kebimbangan umum yang pernah disuarakan sebelum ini.

"Ini memberi anggapan yang kerajaan tidak begitu peka terhadap pandangan masyarakat yang begitu sensitif terhadap nilai diri dan keselamatan maruah anak-anak mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sebelum ini, timbul kebimbangan di kalangan ibu bapa apabila kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan PLKN yang membabitkan percampuran peserta lelaki dan perempuan dalam aktiviti yang dijalankan di kem yang terletak jauh daripada kawalan keluarga.

Oleh itu, katanya, kerajaan mesti mengambilkira sensitiviti umum dan menghormati nilai susila masyarakat setempat dalam merangka apa-apa aktiviti khususnya yang melibatkan remaja perempuan.

Jaminan kosong

Sementara itu, parti Keadilan memandang serius pengakuan Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Datuk Dr Ahmad Fawzi Mohd Basri yang pihaknya tidak mempunyai ruang waktu dan masa yang cukup untuk menilai dan menyelidiki latar belakang jurulatih PLKN.

Presidennya, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia menunjukkan mereka memandang mudah soal disiplin dan keselamatan pelatih yang dipaksa mengikuti latihan tersebut.

"Jaminan Datuk Seri Najib Abdul Razak bahawa program Khidmat Negara ini akan dapat melahirkan golongan remaja yang lebih dedikasi ternyata jaminan kosong apabila pengerusi Khidmat Negara mengakui mereka tidak membuat kaji selidik yang cukup terhadap jurulatih.

"Lebih mengejutkan lagi, apabila beliau hanya membuat anggapan bahawa jurulatih yang dipilih sememangnya layak dan warga yang baik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu, kata beliau, berlaku terlalu banyak insiden jelek di dalam kem, antaranya pergaduhan sesama pelatih ,pelatih wanita diraba dan dimalukan, jurulatih merokok semasa sesi latihan, jurulatih yang tidak dibayar gaji dan yang terbaru ialah kes jurulatih didakwa merogol pelatih wanita.

"Kepercayaan ibubapa ternyata meleset apabila kerajaan gagal memberi penekanan kepada isu disipin dan keselamatan para pelatih ini," tambahnya.

Oleh itu, katanya, ibubapa mempunyai hak untuk mempertahankan serta menghalang anak mereka dari mengikuti kursus ini sekiranya beginilah situasi yang berlaku dalam PLKN.

"Keadilan juga menggesa supaya seluruh program khidmat Negara diteliti dan dikaji semula. Sehingga kajian teliti dilakukan, PLKN hendaklah ditangguhkan serta-merta," tambahnya.