Lima kontraktor yang terbabit dengan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Kampung Baharu, Perak mendakwa belum mendapat sebarang bayaran walaupun pihak PLKN berjanji berbuat demikian bagi setiap dua minggu.

Menurut sumber, mereka terbabit dengan penyediaan bangunan dan tapak khemah, dewan makan dan pemasangan wayar elektrik dan paip air di kem PLKN terbabit.

"Sebelum ini, PLKN berjanji akan membuat bayaran kepada kontraktor di 41 kem PLKN pada setiap dua minggu. Tetapi lima kontraktor di sini belum menerima apa-apa bayaran sehingga ini," katanya kepada malaysiakini .

Sementara itu, Jabatan Khidmat Negara, ketika dihubungi sebaliknya berkata pihaknya sudah membuat bayaran bagi setiap dua minggu kepada semua kontraktor berkenaan.

Bagaimapun, jurucakapnya berkata, mungkin ada satu dua bayaran lagi yang belum dijelaskan dan beliau menggesa kontraktor terbabit supaya menghubungi Bahagian Kewangan Khidmat Negara dibuat semakan.

Sehubungan itu, beliau meminta kontraktor terbabit supaya membuat laporan berhubung perkara tersebut kepada bahagian berkenaan untuk diambil tindakan segera.

Sementara itu seorang pekerja Teknologi Komunikasi Maklumat di kem yang sama memberitahu malaysiakini , terdapat 10 jurulatih di bawah Institusi Kepimpinan Wawasan (IKW) dan 30 lagi di bawah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), berkhidmat di kem Kampung Baharu.

Elaun penuh

"Kini 10 jurulatih di bawah IKW masih belum mendapat bayaran penuh elaun mereka untuk bulan Mac. Kami hanya menerima separuh elaun kami bagi bulan Mac, iaitu RM700 Sabtu lalu.

"Manakala jurulatih yang di bawah JLKN pula sudah mendapat elaun penuh untuk bulan Mac semalam," tambahnya.

Menurutnya, apabila mereka merujuk masalah itu kepada JLKN, mereka diberitahu bahawa kelewatan pembayaran elaun bagi bulan Mac adalah kerana berlaku kesilapan dalam penulisan baucher.

"Kami mendapat khabar dari sumber lain yang mengatakan IKW masih belum menerima wang daripada pihak kementerian. Kerana itulah, mereka tidak dapat membayar penuh elaun kepada jurulatih.

"Bagaimanapun, apabila kami merujuk perkara ini Pengarah JLKN, beliau pula berkata pihaknya sudahpun menjelaskan bayaran kepada IKW," kata sumber tersebut.

Cara bayaran

Menurutnya, apabila jurulatih terbabit merujuk perkara tersebut kepada IKW, jawapan yang diberikan ialah: "Duit tak ada, tapi kami akan bayar , tapi lambat sikit..."

Pihak IKW juga, katanya, telah memberi jaminan kepada pihak atasan di kem tersebut akan menyelesaikan perkara tersebut secepat mungkin.

"Walaupun belum menerima elaun tersebut, tetapi jurulatih yang pulang bercuti, dijangka kembali semula ke kem hari ini. Kini kawat sedang dijalankan dalam dua hari ini dan latihan dijangka bermula seperti biasa esok," katanya.

Malaysiakini

diberitahu, urusan pembayaran elaun kepada jurulatih PKN dibuat menerusi dua cara, iaitu menerusi JLKN dan sebuah syarikat swasta (IKW).

JLKN membayar elaun kepada jurulatih secara am, manakala IKW pula membayar elaun kepada mereka yang memegang jawatan berpangkat dan khusus, serta pakar dalam bidang tertentu.