Pelatih PLKN bela jurulatih yang didakwa rogol peserta
Sekumpulan peserta Program Latihan Khidmat Negara (LPKN) dilaporkan mengambil tindakan yang memeranjatkan apabila mereka melancarkan kempen tandatangan sebagai tanda sokongan terhadap jurulatih yang didakwa merogol pelatih PLKN di Kem Marang di Terengganu.
Sekumpulan peserta Program Latihan Khidmat Negara (LPKN) dilaporkan mengambil tindakan yang memeranjatkan apabila mereka melancarkan kempen tandatangan sebagai tanda sokongan terhadap jurulatih yang didakwa merogol pelatih PLKN di Kem Marang di Terengganu.
Malah, menurut laporan akhbar berbahasa Cina, China Press , mereka juga bersedia untuk menyediakan laporan bertulis mengenai kejadian yang sebenarnya, kepada pihak-pihak berkenaan.
Kesemua pelatih tersebut kini menjalani latihan pembinaan karektor dan kenegaraan bersama kira-kira 2,500 pelatih PLKN di kampus Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sebelum ini mereka menjalani latihan fizikal bersama mangsa terbabit di Kem PLKN di Merang, Terengganu.
Bagaimanapun, Timbalan Pengarah (2) Bahagian PLKN di UPM, Hashim Md Shari, ketika dihubungi malaysiakini , berkata pihaknya tidak tahu menahu langsung mengenai kempen tandatangan, sepertimana dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina.
Siasatan polis
Beliau yang juga Ketua Pegawai Bahagian Hal-Ehwal Mahasiswa UPM, berkata: "Pihak kami tidak tahu dan juga tidak menerima sebarang maklumat mengenai kempen tandatangan bagi membela jurulatih terbabit."
Menjawab soalan lanjut daripada malaysiakini berhubung laporan akhbar tersebut, beliau berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada siasatan polis.
"Polis yang bertanggungjawab kerana mangsa yang membuat laporan polis dan bukan kami. Pihak kami tak mengetahui perkara tersebut. Lagi pun kami hanya membaca akhbar berbahasa Melayu."
Menurut laporan China Press , kumpulan peserta terbabit terperanjat apabila menonton di televisyen mengenai penangkapan jurulatih tersebut kerana didakwa telah merogol mangsa.
Laporan itu turut menyebut, selepas mengetahui perkara itu, pelajar-pelajar terbabit mahu memberitahu pihak berkenaan mengenai perkara yang sebenarnya berlaku.
Akhbar itu juga memetik sumber-sumber sebagai berkata, salah seorang peserta PLKN yang merupa teman sebilik mangsa, mendakwa mangsa memang suka dengan jurulatih tersebut dan sentiasa cari alasan keluar dari khemah peserta perempuan untuk ke asrama jurulatih terbabit.
Reaksi
Oleh itu, menurut sumber-sumber tersebut, mereka merasa curiga dengan dakwaan mangsa yang dia telah dirogol oleh jurulatih tersebut.
Malah, katanya, selepas kejadian rogol itu dilaporkan berlaku pada 28 Februari lalu, mereka mendapati mangsa tidak menunjukkan sebarang reaksi aneh.
Oleh itu, katanya, mereka mempersoalkan mengapa selepas dua bulan, baru mangsa mahu melaporkan perkara tersebut
Menurut sumber itu lagi, pada kebiasaannya, peserta yang ingin ke bank akan ditemani lima orang dan tidak mungkin hanya dua sahaja seperti yang didakwa oleh mangsa tersebut.
Isnin lalu, media tempatan melaporkan kejadian tersebut yang turut mendapat mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan orang ramai. Polis masih menyiasat kes tersebut.

