PAS minta Prof Dr Ahmad Fawzi diganti
Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) kesal dengan keengganan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Najib Tun Razak menerima kehadiran mereka untuk mengemukakan memorandum berhubung pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Dewan Pemuda PAS pusat (DPP) kesal dengan keengganan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Najib Tun Razak menerima kehadiran mereka untuk mengemukakan memorandum berhubung pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Ketuanya, Salahuddin Ayub berkata pegawai DPP telah menghubungi pejabat Najib di Kementerian Pertahanan semalam untuk memaklumkan kedatangan mereka untuk menyerahkan memorandum tersebut.
"Semalam pegawai kami Kamarul Arif telah menerima panggilan daripada pihak kementerian menyatakan Najib tidak mahu menemui Pemuda PAS," katanya dihubungi oleh malaysiakini hari ini.
Sebelum itu, beliau telahpun mengadakan satu sidang media di Markas PAS di di Taman Melewar, Batu Cave, Selangor, hari ini.
Berikutan itu, katanya, beliau telah menghantar memorandum tersebut hari ini melalui faks pejabat Najib yang juga Menteri Pertahanan.
"Kami mendapati Najib tidak berfikiran terbuka dalam isu PLKN kerana beliau tidak mahu menerima dan membincang isu tersebut," tambahnya.
Dalam memorandum tiga muka surat itu, DPP antara lain meminta kerajaan supaya menangguhkan sementara PLKN serta menuntut supaya pengerusi program tersebut, Prof Dr Ahmad Fawzi Basri diganti oleh tokoh yang lebih berwibawa.
DPP juga menggesa kerajaan supaya membabitkan semua pihak dalam penggubalan dasar, kurikulum dan keadah pelaksanan PLKN, menubuhkan penal khas untuk memilih jurulatih dan mewujudkan majlis penaziran bebas untuk memantau pelaksanaan PLKN.
Masalah
Selain itu, Salahuddin juga mendakwa yang Kementerian Pertahanan telah mengarah semua media supaya tidak melaporkan berita negatif mengenai program khidmat negara itu.
"Sehari dua ini, kita mendapati akhbar tempatan, terutamanya akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris tidak lagi melaporkan berita-berita mengenai PLKN," katanya.
Apabila diberitahu yang berita-berita mengenai PLKN itu masih dilaporkan dalam media, beliau bagaimanapun berkata, laporannya tidak sehangat sepertiamana diperkatakan sebelum ini.
Menurut Salahudin lagi, pihaknya tetap memandang berat masalah yang berlaku di dalam PLKN dan menggesa ibubapa supaya mendesak kerajaan menangguhkan sementara perlaksanaan program tersebut kerana terdapat banyak kelemahan yang timbul sepertimana yang dilaporkan oleh pihak media.
Katanya, antara kelemahan yang dilaporkan oleh pihak media ialah percampuran bebas antara peserta lelaki dan perempuan , tiada peraturan yang dikuatkuasakan, jurulatih tidak bertauliah dan pelaksanaan modul-modul yang tidak efektif.
Kesemua kelemahan tersebut, kata Salahuddin, telah boleh memberikan kesan yang negatif terhadap masa depan peserta serta menjejaskan keyakinan ibu bapa dan juga masyarakat kepada program khidmat negara itu.
Menurutnya lagi, talian hotline PLKN yang disediakan oleh DPP turut menerima laporan terus dari peserta yang mengatakan berlakunya usaha mengindoktrinasikan mereka dengan pemikiran politik pemerintah, termasuk memberitahu mereka kononnnya parti pembangkang berbahaya kepada keselamatan negara.
Katanya, ada juga peserta yang menelefon dan mendakwa ada tayangan filem lucah di kem-kem PLKN, selain berlakunya pergaduhan antara peserta.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.