Umno: Kerajaan PAS abaikan ekonomi Kelantan
Pelawaan terbuka kerajaan PAS Kelantan kepada pemimpin Umno negeri yang pakar dalam bidang ekonomi untuk menganggotai Majlis Perundingan Ekonomi negeri itu menunjukkan parti tersebut ketandusan pemimpin yang pakar dalam bidang berkenaan.
Pelawaan terbuka kerajaan PAS Kelantan kepada pemimpin Umno negeri yang pakar dalam bidang ekonomi untuk menganggotai Majlis Perundingan Ekonomi negeri itu menunjukkan parti tersebut ketandusan pemimpin yang pakar dalam bidang berkenaan.
Malah, kata sumber-sumber Umno Kelantan, tindakan kerajaan PAS untuk mengaktif semula majlis tersebut dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, menunjukkan selama ini kepimpinan parti berkenaan tidak memberi fokus sepatutnya untuk membangunan ekonomi Kelantan.
Rabu lalu, Kerajaan Kelantan mengumumkan akan mengaktifkan kembali Majlis Perunding Ekonomi Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, bagi memesatkan pertumbuhan ekonomi negeri serta meningkatkan hubungan pentadbiran dengan semua pihak.
Kedua-dua majlis tersebut akan dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Sehubungan itu, Exco kerajaan negeri, Husam Musa mempelawa pemimpin Barisan Nasional (BN), termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad untuk menganggotai kedua-dua majlis tersebut
Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, turut mempelawa Bendahari Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Datuk Ibrahim Ali selaku Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan.
Mustafa juga merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, manakala Dr Awang Adek adalah Timbalan menteri Luar Bandar dan Wilayah.
Bagaimanapun, Husam menegaskan bahawa pelawaan itu bukan merupakan kerjasama BN dan PAS, tetapi ini adalah kerjasama pentadbiran bagi tujuan perkembangan ekonomi negeri Kelantan.
Tanggungjawab
Menurut Husam lagi, surat tawaran dan pelantikan termasuk kepada Mustapa, Awang Adek dan Ibrahim akan dibuat dalam tempoh terdekat ini dan beliau yakin mereka tidak akan menolak tawaran tersebut atas sebab rasa tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, sumber-sumber tersebut berkata, kerajaan negeri kini dalam keadaan tertekan memandangkan ianya kembali memerintah semula Kelantan hanya majoriti mudah.
"Kerana tindakan kerajaan PAS yang tidak mementingkan pembangunan ekonomi maka akibatnya, rakyat Kelantan kini berdepan dengan masalah pengangguran, tiada pekerjaan baru, hidup dalam kemiskinan dan ramai yang berhijrah ke negeri-negeri lain," tambahnya.
Lagi pula, beliau mempersoalkan mengapa baru sekarang kerajaan PAS mahu mendapatkan kerjasama Mustafa dan Dr Awang Adek (
kanan
) untuk membangunkan Kelantan demi kebaikan rakyat.
"Mengapa tidak dua tahun lalu, sedangkan masalah tersebut sudah lama wujud. Kini mereka mahu Datuk Mustafa dan Dr Awang Adek menyelesaikan masalah mereka...," tambahnya.
Selain itu, katanya, perkara tersebut bukan semudah yang disangka oleh kerajaan PAS untuk diselesaikan kerana ia membabitkan perancangan dan kerjasama di antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.
"Ia bukan soal seorang dua duduk dalam jawatankuasa ekonomi, dan selesailah masalahnya...isu yang lebih besar ialah rakyat Kelantan memerlukan sebuah kerajaan yang kuat yang sehaluan dengan kerajaan Pusat...barulah semua masalah ini akan dapat diselesaikan," katanya.

