Calon-calon Kelab MB dijangka kuasai pemilihan Umno
Pemilihan Umno kali ini dijangka menyaksikan penguasaan calon-calon yang direstui kelompok Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam merebut jawatan-jawatan tertinggi parti, khususnya bagi jawatan naib presiden Umno.
Pemilihan Umno kali ini dijangka menyaksikan penguasaan calon-calon yang direstui kelompok Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam merebut jawatan-jawatan tertinggi parti, khususnya bagi jawatan naib presiden Umno.
Bagaimanapun mereka dijangka menghadapi tentangan sengit daripada faksi-faksi lain dalam Umno terutamanya calon-calon dari kalangan menteri, Pemuda dan Wanita Umno, terutama bagi kerusi Majlis Tertinggi (MT).
Sehingga ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam (
kiri
) dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman hampir pasti menjadi calon-calon yang mendapat sokongan daripada 'kelab MB' untuk bertanding dua jawatan naib presiden Umno.
Menteri Besar Perak, Datuk Tajol Rosli Mohd Ghazali, yang disebut-sebut berminat untuk bertanding, telah secara terbuka mengatakan beliau hanya mahu mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi (MT).
Menurut sumber-sumber yang mengetahui, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo juga hampir pasti dicalonkan untuk bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia.
Katanya, beliau difahamkan, kelompok menteri besar juga tidak keberatan untuk menawarkan sokongan kepada penyandang sekarang, Datuk Hishammuddin Hussein juga beliau bersedia untuk bertanding jawatan naib presiden.
Selaku ketua Pemuda Umno, Hishammuddin secara automatik menjadi naib presiden Umno bersama ketua wanita, Datin Paduka Rafidah Aziz (
kanan
) dan ketua Puteri Umno, Datuk Azalina Othman.
Menurut sumber-sumber itu, oleh kerana Hishammuddin belum lagi membuat keputusan sama ada berminat untuk bertanding naib presiden, maka Abdul Ghani dijangka turut dicalon untuk jawatan ketiga tertinggi dalam Umno itu.
Pertahan jawatan
Menurut laporan akhbar hari ini, Hishammuddin berkata beliau menyerahkan kepada ahli Pemuda Umno untuk menentukan sama ada beliau perlu mempertahankan jawatannya atau bertanding bagi jawatan lebih tinggi.
Menteri Pendidikan itu dilaporkan berkata, sehingga kini beliau belum membuat sebarang keputusan berhubung pemilihan parti pada perhimpunan agung kali ini.
Laporan itu juga menyebut Hishammuddin sebagai berkata, dalam pertemuannya dengan Dr Mohd Khir kelmarin, Menteri Besar Selangor itu yang juga Exco Pemuda Umno tidak menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan ketua pemuda Umno.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengosongkan jawatan naib presiden kerana dijangka dipilih sebagai timbalan presiden. Manakala seorang lagi penyandangnya, Tan Sri
Muhammad Muhd Taib
dijangka tidak akan bertanding tetapi sebaliknya dilantik sebagai setiausaha agung Umno.
Berikutan itu, dua daripada tiga kerusi naib presiden akan kosong untuk menjadi rebutan.
Seorang lagi penyandangnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pertanian, dijangka tiada masalah untuk mempertahankan jawatannya.
Sementara itu Timbalan Pengerusi Umno Kelantan Datuk Zaid Ibrahim turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan naib presiden.
Ditanya mengenai keghairahan sesetengah pihak yang mahu Dr Mohd Khir bertanding jawatan ketua pemuda, sumber-sumber itu berkata, ada ura-ura untuk meminta perlembagaan pergerakan itu dipinda supaya had umur tidak disyaratkan terhadap mereka yang ingin bertanding jawatan tersebut.
Buat masa ini, mereka yang ingin bertanding jawatan tersebut disyaratkan mesti berumur di bawah 40 tahun. Apabila menang, penyandang dibolehkan mempertahankan jawatan tersebut walaupun selepas berumur lebih 40 tahun.
Bertukar tangan
Berikutan syarat tersebut, katanya, hanya Dr Mohd Khir sahaja dari kalangan para menteri besar yang masih berumur di bawah 40 tahun dan layak untuk bertanding jawatan berkenaan.
"Saya difahamkan, sekiranya kepimpinan Pemuda Umno bertukar tangan, kemungkinan ia lebih memudahkan lagi cadangan tersebut dilaksanakan," tambahnya.
Tanpa syarat tersebut, katanya, lebih ramai pemimpin yang berwibawa termasuk dari luar pergerakan tersebut berpeluang untuk memimpinnya.
Di kalangan para menteri pula, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar telah menyatakan kesediaannya untuk menimbang bertanding jawatan naib presiden.
Pada masa ini, terdapat sebelas ahli MT dari kalangan menteri dan timbalan menteri. Mereka ialah Datuk Mustapa Mohamad, Datuk Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Abd Aziz, Datuk Mohd Shafie Apdal, Datuk Jamaludin Jarjis, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin, Datuk Azmi Khalid, Datuk Shafie Mohd Salleh, Datuk Dr. Hilmi Haji Yahya, Datuk Azalina Othman Said dan Tan Sri Isa Samad.
Menurut Syed Hamid, beliau akan memantau perjalanan
mesyuarat cawangan
mulai 1 Jun dan mesyuarat bahagian mulai 8 Julai depan, bagi menilai kehendak dan penerimaan ahli sebelum membuat keputusan merebut satu daripada tiga kerusi yang dipertanding tersebut.
Pengumuman mengenai tarikh mesyuarat cawangan dan bahagian itu telah merancakkan lagi kempen-kempen di kalangan penyokong barisan pemimpin Umno yang berhasrat untuk bertanding kali ini.
Berikutan itu, Mesyuarat MT Umno minggu lalu telah mengumumkan bahawa kesemua mesyuarat bahagian akan dirasmikan oleh ketua masing-masing. Sebelum ini, ahli-ahli MT ditugaskan untuk merasmikan mesyuarat bahagian.
MT juga telah mengedarkan buku kecil mengenai peraturan dan larangan yang perlu dipatuhi oleh calon-calon yang bertanding bagi mengelak berlakunya politik wang.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.