Peluang Hishammuddin menang naib presiden cerah
Ketua Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Hussein dikatakan semakin yakin untuk bertanding jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung September ini.
Ketua Pemuda Umno Datuk Hishammuddin Hussein dikatakan semakin yakin untuk bertanding jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung September ini.
Sumber-sumber yang rapat dengan pergerakan itu berkata, selepas meninjau pendapat pemimpin pergerakan itu di peringkat nasional, negeri dan bahagian, majoritinya yakin peluang untuk Hishammuddin memenangi jawatan tersebut adalah cerah.
"Selain itu, Datuk Hishammuddin juga popular di kalangan pemimpin Umno bahagian. Oleh itu, ramai yang sependapat beliau memang layak menjawat jawatan tersebut. Lagi pula, selaku ketua Pemuda, beliau juga merupakan salah seorang naib presiden parti," kata sumber-sumber tersebut.
Malah, beliau berkata, pihaknya juga gembira apabila mendapat tahu yang para menteri besar dan ketua menteri juga bersetuju seandainya Hishammuddin bertanding jawatan tersebut.
Berikutan itu, katanya, Hishammuddin dijangka dicalonkan oleh bahagian-bahagian Umno yang akan bersidang selama dua minggu mulai 8 Julai depan.
Menurut sumber-sumber itu lagi, persetujuan Hishammuddin menerima pencalonan bagi jawatan naib presiden juga akan membuka jalan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo menerajui pergerakan tersebut.
"Jika Datuk Hishammuddin bertanding naib presiden, kami pasti Dr Mohd Khir merupakan satu-satunya calon bagi jawatan Ketua Pemuda. Kami tidak menjangka ada calon lain akan mencabarnya," tambah sumber-sumber itu.
Tarik diri
Setakat ini, katanya, tinjauan pihaknya mendapati gandingan pilihan kali ini ialah Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (presiden), Datuk Seri Najib Razak (Timbalan Presiden) manakala calon-calon naib presiden ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Mohd Ali Rustam dan Hishammuddin.
"Walaupun ada bahagian yang dijangka mencalonkan orang lain, tetapi jumlahnya dijangka tidak seberapa. Kemungkinan juga ada antara mereka yang akan menarik diri," tambahnya.
Menurutnya, setakat ini, selain pergerakan tersebut, Hishammuddin juga mendapat sokongan padu daripada bahagian-bahagian di Johor, Selangor, Perak, Kelantan dan Sabah.
"Dengan mengambil Johor, Selangor, Perak dan Sabah yang merupakan negeri-negeri yang mempunyai jumlah perwakilan yang ramai ke Perhimpunan Agung Umno setiap tahun, pastinya peluang Datuk Hishammuddin cukup baik.
"Ini ditambah pula dengan para perwakilan daripada Pemuda Umno sendiri dan juga Puteri Umno yang kami jangka turut memberi sokongan kepada Datuk Hishammuddin," katanya lagi.
Mesyuarat bagi semua 19,000 cawangan Umno akan diadakan selama sebulan mulai I Jun depan, manakala persidangan bagi 191 bahagian pula akan berlangsung selama dua minggu mulai 8 hingga 22 Julai ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.