Menteri Pendidikan, Datuk Hishammuddin Hussein mengarahkan supaya kesemua Kelab Pencegahan Jenayah di sekolah menengah diaktifkan semula, dalam usaha membanteraskan kegiatan berunsur jenayah yang membabitkan para pelajar.

Menurutnya, pada masa ini terdapat 1,500 kelab berkenaan yang ditubuhkan diseluruh negara, tetapi tidak kesemuanya aktif seperti yang diharapkan.

Berikutan itu, Hishammuddin berkata, pihaknya mengkaji punca kelemahannya dan mengapa kelab-kelab tersebut tidak aktif.

Menurut Hishammuddin lagi, kira-kira dua peratus atau 100,000 orang daripada lima juta pelajar dikesan terbabit dengan gejala salahlaku di sekolah.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran poster anti-buli Kementerian Pelajaran, di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata, tumpuan yang lebih akan diberikan kepada aktiviti kelab pencegahan jenayah bagi membanteraskan masalah disliplin di kalangan pelajar.

Di samping itu, kata Hishammuddin, kementeriannya juga memberi keutamaan kepada kegiatan ko-kurikulum khususnya yang pasukan berseragam, seperti Kadet Polis.

Sehubungan itu, katanya, Jemaah Menteri telahpun bersetuju supaya pasukan berseragam ditubuhkan di sekolah bagi membantu membanteras gejala negatif di kalangan pelajar.

Semakin meliar

Untuk itu, kata beliau, pihak polis akan mengenalpastikan sekolah-sekolah untuk mewujudkan pasukan kadet polis.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Hishammuddin berharap masyarakat tidak mengambil mudah gejala salahlaku yang membabitkan dua peratus daripada lima juta pelajar sekolah.

"Sekiranya kita gagal untuk mengesan dan mengawal gejala ini dengan segera, maka ia akan terus berkembang biak sehingga menjadi semakin meliar hari demi hari," tambahnya.

Bagaimanapun, Hishammuddin mengingatkan supaya memberi tumpuan kepada 98 peratus lagi pelajar yang tidak terlibat dengan masalah salahlaku, disliplin dan kegiatan jenayah.

"Alihkan fokus kita. Didiklah pelajar-pelajar ini supaya memandang tinggi terhadap nilai-nilai yang cemerlang. Didiklah mereka supaya mempunyai keinginan kuat untuk menjadi golongan terbilang.

"Ini adalah tugas kita yang lebih dewasa, lebih matang dan lebih bijaksana. Ini adalah tugas yang lebih konstruktif, lebih membina dan lebih membawa makna," katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) , Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata yayasan tersebut menyokong kempen anti-buli yang dilancarkan oleh Menteri Pelajaran hari ini.

Patuhi peraturan

"Kempen anti-buli harus dilaksanakan bersungguh-sungguh dan berterusan ke arah usaha membanteras gejala buli di sekolah. MCPF telah dilantik oleh Jawatankuasa Khas Kementerian Pelajaran untuk menangani masalah gansterism dan gejala buli di sekolah," katanya.

Menurutnya lagi, kira-kira 80 peratus sekolah menengah sudah mempunyai kelab pencegahan Jenayah tetapi tidak kesemuanya aktif.

Katanya, penubuhan kelab tersebut bertujuan menimbulkan kesedaran pelajar supaya menjauhi kegiatan jenayah dan memupuk budaya anti-jenayah di kalangan mereka, di samping memupuk sikap sentiasa mematuhi peraturan.

"Kajian yayasan ini mendapati kira-kira 40 peratus kelab ini aktif menjalankan aktiviti mereka. Kelab ini dikategorikan sebagai aktif apabila ahli jawatankuasanya sedar tanggungjawab dan memahami tugas mereka serta menjalankan aktiviti di sekolah," katanya.

Berikutan itu, katanya, MCPF telahpun mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran untuk mengaktifkan semula 60 peratus lagi kelab tersebut.

Katanya, pihak yayasan berkenaan juga memperuntukkan RM89,000 untuk menganjurkan seminar dengan para guru penasihat di zon-zon yang telah ditetapkan.

Sehubungan itu, katanya, yayasan berkenaan juga akan memberi geran pelancaran berjumlah RM100 serta risalah berkaitan, kepada setiap sekolah yang berminat untuk menubuhkan kelab pencegahan jenayah.

"Pihak sekolah yang berminat menubuhkan kelab pencegahan jenayah bolehlah menghubungi pihak yayasan melalui telefon 03-22601954," katanya.