Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishammuddin Hussein hampir pasti bertanding jawatan naib presiden Umno, tetapi ia tidak bermakna Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo akan mengambil alih terajui pergerakan tersebut tanpa menghadapi sebarang cabaran.

Ketika ini kempen untuk mengisi kekosongan jawatan ketua Pemuda Umno itu semakin rancak, bukan sahaja oleh penyokong Menteri Besar Selangor itu, tetapi juga penyokong beberapa pemimpin lain pergerakan tersebut.

Sekiranya sebelum ini, ramai yang meramalkan Dr Mohd Khir akan mengisi kekosongan jawatan tersebut, tetapi kini penyokong pemimpin-pemimpin lain dalam pergerakan itu, mahu jawatan itu dipertandingkan.

"Jika Umno mengamalkan demokrasi, maka sepatutnya jawatan ketua Pemuda Umno juga dipertandingkan. Jika Dr Mohd Khir benar-benar mempunyai pengaruh yang kuat, sudah pasti beliau akan menang," kata sumber-sumber yang rapat dengan Umno.

Melalui pertandingan tersebut, katanya, calon-calon yang bertanding dapat membuktikan bahawa mereka benar-benar mempunyai sokongan seperti yang diwar-warkan, dan bukannya retorik semata-mata.

"Melalui pertandingan tersebut, pemimpin-pemimpin lain juga berpeluang membuktikan pengaruh mereka dalam pergerakan tersebut," katanya lagi. Dr Mohd Khir juga merupakan Exco pergerakan tersebut.

Berikutan itu, katanya, beliau diberitahu bahawa penyokong kuat naib ketua pergerakan itu, Datuk Aziz Sheikh Fadzir dan ketua penerangannya, Datuk Azimi Daim dipercayai sudah memulakan kempen untuk mendapatkan pencalonan bagi bertanding jawatan tersebut.

Saingan kuat

Bagaimanapun, menurut sumber-sumber itu lagi, Azimi mampu memberi saingan hebat kepada Dr Mohd Khir memandangkan beliau seorang pemidato yang disegani, khususnya di kalangan ahli pergerakan tersebut.

"Tambahan pula, selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru dengan majoriti 3,878 undi, Datuk Azimi telah dilantik sebagai ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah.

"Manakala Aziz, walaupun merupakan ketua Pemuda Umno Kedah, dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), tetapi beliau tidak dilantik menjadi exco. Lagi pula, beliau menang tipis di DUN Kuala Ketil dengan majoriti 462 undi sahaja," tambahnya.

Menurut sumber-sumber itu lagi, perkembangan tersebut agak memeranjatkan kerana sebelum ini boleh dikatakan majoriti pemimpin Pemuda Umno bersetuju memilih Dr Mohd Khir jika Hishammuddin mengosongkan jawatannya.

"Tiba-tiba sahaja timbul cerita ramai pula pemimpin pergerakan tersebut mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda. Nampaknya, Dr Mohd Khir bukan pilihan popular di kalangan kepimpinan pergerakan tersebut," katanya.

Berikutan itu, sumber-sumber tersebut tidak menolak kemungkinan berlakunya pertandingan bagi jawatan naib ketua Pemuda Umno Malaysia yang kini disandang oleh Aziz.

"Saya juga difahamkan, sekiranya Aziz menerima pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno, kemungkinan besar Azimi akan bertanding naib ketua kerana peluangnya untuk menang adalah cerah.

"Malah, ada Pemuda Umno bahagian yang akan mencalonkan Azimi bagi jawatan ketua dan naib ketua Pemuda Umno Malaysia. Dalam hal ini, yang tersepit ialah Aziz. Jadi, mahu tak mahu, beliau terpaksa mencabar Dr Mohd Khir untuk jawatan ketua pergerakan itu," tambahnya.