Kes kehilangan pelatih - Versi PLKN dan keluarga berbeza
Kementerian Pertahanan menjelaskan bahawa pihaknya sudah berusaha untuk menghubungi keluarga pelatih khidmat negara, Pang Shu Juan yang tidak pulang semula ke kem latihan selepas dibenarkan pulang untuk menziarahi ibunya yang didakwa sakit.
Kementerian Pertahanan menjelaskan bahawa pihaknya sudah berusaha untuk menghubungi keluarga pelatih khidmat negara, Pang Shu Juan yang tidak pulang semula ke kem latihan selepas dibenarkan pulang untuk menziarahi ibunya yang didakwa sakit.
Menurut Timbalan Setiausaha Kementerian Pertahanan (Bahagian Pengurusan) Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Datuk Sirajuddin Salleh, pihak kem telah berusaha menghubungi bapa Shu Juan melalui telefon bimbit berhubung perkara tersebut tetapi panggilan itu tidak berjawab.
Katanya, nombor telefon yang digunakan ditulis oleh Shu Juan sendiri sewaktu dia mengisi borang kebenaran pulang di Kem PLKN di Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk pulang menziarah ibu yang menurutnya sedang sakit teruk di Pekan Nanas, Johor, pada 10 April lalu.
Menurut Sirajuddin, pada pagi tersebut, Shu Juan mengisi borang kebenaran untuk pulang kerana menurutnya ibunya, Teo Lay Hua sedang sakit teruk.
"Pihak pengurusan kem tersebut yang kasihan dengan keadaan Shu Juan lalu, membenarkannya pulang dengan syarat dia dibawa balik oleh ahli keluarganya.
"Pada malam tersebut Shu Juan membawa seorang lelaki yang mengakui sepupunya untuk mengambilnya pulang ke Johor. Pihak kem telah merekodkan maklumat lelaki itu yang dikenali sebagai Pang E Huei berumur 22 tahun," katanya.
Tidak pulang
Menurutnya lagi, mengikut peraturan, Shu Juan perlu mendapat kelulusan pusat operasi kampus berkenaan sebelum meninggalkan kem tersebut. Bagaimanapun, Shu Juan gagal berbuat demikian.
Bercakap kepada pemberita di pejabat PLKN hari ini, Sirajuddin berkata, Shu Juan diberi cuti selama dua hari dan diminta balik semula ke kem pada 12 April. Pada 13 April, pihak kem menelefon Shu Juan bertanya mengapa dia masih belum pulang untuk menerus latihan.
"Shu Juan memberitahu dia tidak mempunyai wang tambang untuk balik ke kem dan meminta tambahan satu hari cuti lagi. Ketika itu, pihak PLKN ingat Shu Juan ada bersama keluarganya," tambahnya.
Bagaimanapun, katanya, apabila Shu Juan tidak juga balik semula ke kem, pihak PLKN berusaha menghubungi Shu Juan.tetapi gagal.
Bagaimanapun, ibu saudara Shu Juan yang dikenali sebagai Yvonne mendakwa sebaliknya,
Menurutnya, sewaktu dia pergi ke kampus UKM pada 25 April lalu, beliau diberitahu oleh pihak kem tersebut bahawa anak saudaranya itu dihantar menjalani modul latihan fizikal di Rembau, Negeri Sembilan.
Laporan polis
Berikutan itu, Yvonne telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. Pihak PLKN juga membuat laporan polis yang sama. Sehingga kini tiada sebarang berita mengenai Shu Juan.
Berikutan itu, ibu Shu Juan mendakwa pihak PLKN cuba menyembunyikan kehilangan anaknya itu apabila memberitahu Yvonne yang anaknya di hantar berlatih di Rembau.
"Selepas adik saya datang melawat Shu Juan, barulah kami mengetahui yang anak saya itu sudah menghilangkan diri selama dua minggu baru, tetapi pihak PLKN memberitahu Yvonne yang dia tiada di kem tersebut," kata ibunya kepada pemberita.
Ibu Shu Juan juga menafikan yang nombor telefon tersebut milik suaminya. Beliau juga kesal kerana pihak PLKN tidak memeriksa terlebih dahulu nombor kad pengenalan dan tandatangan bapa Shu Juan yang didakwanya telah dipalsukan oleh lelaki tersebut, sebelum membenarkan mereka keluar dari kem.
Turut sama di sidang akhbar tersebut ialah Yvonne, Ahli Parlimen DAP Batu Gajah Fong Po Kuan, ketua DAP Serdang Jack Wong dan setiausaha DAP Selangor John Chung Yoong Ying. Sebelum itu mereka telah menemani ibu Shu Juan dalam pertemuan dengan Sirajuddin untuk mendapat penjelasan berhubung kejadian tersebut.
Akhbar berbahasa Cina semalam melaporkan bahawa Shu Juan sudahpun berhenti persekolahan selepas tingkat dua.
Dirayu pulang
Sementara itu, Yvonne berkata: "Kami telah menyerahkan anak kami untuk menjalani latihan PLKN yang diwajibkan. Jika tidak ibubapa akan dikenakan denda atau dihukum. Tetapi selepas kejadian itu, mana ada ibu bapa yang berani membenarkan anak mereka menyertai PLKN ini?"
Sirajuddin yang turut sedih dan simpati dengan keadaan Teo, berharap Shu Juan akan pulang ke pangkuan keluarganya.
Beliau juga merayu kepada siapa yang mengetahui di mana Shu Juan berada supaya memujuk Shu Juan menghubungi keluarganya kerana mereka risau dengan kejadian tersebut.
Sementara itu, Fong mendakwa pihak PLKN tidak serius dalam mengendalikan kejadian tersebut.
"Selepas kehilangan Shu Juan, pihak PLKN sepatutnya menemui kedua ibu bapa Shu Juan untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Tetapi mereka tidak berbuat demikian. Sebaliknya, ibu bapa Shu Juan yang terpaksa datang berjumpa pihak LPKN.
"Kini selepas kejadian ini, pihak LPKN hanya menyerahkan segala tanggungjawab itu kepada pihak polis," katanya.
Menurut Fong lagi, beliau juga menerima banyak aduan daripada ibu bapa berkaitan PLKN dan meminta program itu ditangguhkan kerana keselamatan peserta tidak terjamin.
Sehubungan itu, katanya, beliau telah menghantar notis kepada Dewan Rakyat untuk mengemukakan usul supaya PLKN dibubarkan dengan segera.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.