Lewat bayar elaun: IKW salahkan Kementerian Pertahanan
Institut Kepimpinan Wawasan (IKW) hari ini menyalahkan Kementerian Pertahanan kerana lewat menjelaskan pembayaran kepadanya sehingga mengakibatkan jurulatih IKW dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tidak menerima elaun mereka mengikut jadual.
Institut Kepimpinan Wawasan (IKW) hari ini menyalahkan Kementerian Pertahanan kerana lewat menjelaskan pembayaran kepadanya sehingga mengakibatkan jurulatih IKW dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tidak menerima elaun mereka mengikut jadual.
Kementerian Pertahanan dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan keseluruhan urusan pelaksanaan PLKN yang membabitkan kira-kira 85,000 peserta. Kumpulan pertama seramai kira-kira 25,000 sudah menamatkan latihan mereka Jumaat lalu.
Menurut jurucakap IKW, sehingga sekarang pihaknya masih lagi menunggu bayaran daripada kementerian berkenaan, sebelum dapat membayar elaun kepada para jurulatihnya.
Presiden IKW, yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), ialah Brig-Jen (B) Datuk Hussainy Hashim yang juga setiausaha kerja Umno Malaysia. Beliau menggantikan Tengku Adnan Tengku Mansor yang melepaskan jawatan itu baru-baru ini.
Majlis Khidmat Negara membayar elaun kepada jurulatih secara am, manakala IKW pula membayar elaun kepada mereka yang memegang jawatan berpangkat serta pakar dalam bidang tertentu.
"Kami ada kontrak dengan kerajaan. Bila kerajaan bayar kami, baru kami bayar kepada jurulatih. Selain itu, IKW biasanya membayar elaun separuh-separuh, tertakluk kepada tuntuta dan proses juga mengambil masa.
Punca kelewatan
"IKW akan membayar elaun jurulatih selepas kerajaan membuat pembayaran kepada kami. Hanya elaun bulan lepas (April) yang kami belum bayar," katanya.
Sementara itu, Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan PLKN,Yusof Ahmad pula memberitahu malaysiakini kelewatan pembayaran elaun berlaku disebabkan beberapa faktor.
"Biasanya kelewatan disebabkan oleh jurulatih silap memberi nombor akaun bank, menyebabkan cek tidak dapat ditunaikan.
"Pada peringkat awalnya, PLKN menghadapi masalah mengasingkan jurulatih PLKN dengan jurulatih IKW. Bagaimanapun, masalah itu sudah berjaya diatasi. Satu faktor lagi ialah karenah birokrasi dalam mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan,"katanya.
Nafi
"Biasanya pihak PLKN akan menyenaraikan nama jurulatih pada 21 haribulan untuk diproses dan pada penghujung bulan iaitu 30 haribulan, PLKN akan membuat pembayaran. Kini masalah yang timbul mungkin membabitkan IKW," katanya.
Sementara itu, timbalan ketua penerangan parti Keadilan, Badrul Hisham Shaharin mendakwa pembabitan IKW yang diterajui oleh setiausaha kerja Umno itu, membuktikan penglibatan Umno dalam PLKN.
Menurut Badrul Hisham, Hussainay (
gambar
) juga menjadi Ketua Panel Proaktif Pilihanraya Unit Penyelidikan Perancangan Strategi Umno yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Beliau juga merupakan setiausaha agung Yayasan Kajian dan Strategi Melayu di mana Perdana Menteri menjadi penaungnya," tambahnya.
Semua ini, katanya, membuktikan penglibatan Umno dalam Program Khidmat Negara yang sebelum ini dinafikan sekeras-kerasnya oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

