Episod kehilangan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Pang Shu Juan berakhir semalam apabila dia dan teman lelakinya muncul di sebuah restoran di Johor Bahru untuk bertemu dengan tiga jurulatih PLKN.

Akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily dan Nanyang Siang Pau , melaporkan hari ini, pihak PLKN berjaya menghubungi telefon bimbit teman lelaki Shu Juan dan memujuk mereka bertemu bagi menyelesaikan masalah yang sedang mereka hadapi.

Berikutan itu, pihak PLKN telah mengarahkan tiga jurulatih ke Johor untuk menjemput Shu Juan pulang ke kem latihan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi.

Selepas dibawa balik ke kem petang semalam, Shu Juan kemudiannya dibawa untuk bertemu dengan ibunya Teoh Lay Hua di ibu pejabat PLKN di Kuala Lumpur kira-kira jam 10.30 malam tadi ( gambar ).

Sejak kehilangan Shu Juan, pihak PLKN terutama jurulatih bernama Danial Lim tidak berhenti-henti menghantar pesanan ringkat (SMS) dalam bahasa Cina untuk menasihat Shu Juan supaya balik ke kem.

Pulih keyakinan

Keluarganya juga telah membuat laporan polis pada 25 April lalu selepas mendapati Shu Juan telah keluar daripada kem PLKN di UKM Bangi pada 10 April dan tidak balik semula selepas itu.

Shu Juan keluar bersama seorang lelaki yang mendakwa sepupunya selepas mendapat kelulusan pihak pengurusan PLKN untuk pulang menziarah ibu yang menurutnya sedang sakit teruk di Pekan Nanas, Johor.

Dalam sidang akhbar lewat malam tadi, Timbalan Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sirajuddin Sallh berkata, pihaknya tidak akan memaksa Shu Juan untuk menghabiskan latihannya, tetapi akan berusaha sebaik mungkin untuk mengembalikan keyakinannya terhadap pihaknya.

Malah, beliau berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Shu Juan dan bersetuju menyerahkan kepadanya untuk memilih kem mana yang dia mahu ditempatkan.

Shu Juan kemudiannya memilih untuk meneruskan latihan PLKN di kem di Mersing untuk modul fizikal, yang akan berakhir pada 16 Mei ini. Manakala Shu Juan akan mengikuti modul seterusnya di Universiti Teknologi Malaysia di Skudai. Kedua-dua tempat tersebut terletak berhampiran rumahnya di Johor.

Kajian semula

Sementara itu, Timbalan Ketua Penerangan Pemuda Keadilan Badrul Hisham Shaharin, mendakwa kejadian tersebut mencermin sikap pihak berkuasa yang tidak bertanggungjawab dan kelemahan penguatkuasaan keselamatan di institusi pengajian tinggi (IPT) tempat PLKN dijalankan.

Menurutnya, keselamatan adalah perkara yang paling asas bagi membolehkan program ini mendapat kerjasama dan keyakinan ibubapa dan para pelatihnya.

"Walaupun Kementerian Pertahanan telah berulangkali memberi jaminan kepada para ibu bapa berkenanan langkah-langkah keselamatan yang sedia ada, tetapi kejadian gangguan seksual, rogol, pergaduhan, peras ugut dan kematian tetap berlaku," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, parti Keadilan berpendirian jika program ini diteruskan tanpa dikaji semula dan diperbaiki segala kepincangannya, ia akan memburukkan lagi masalah yang dihadapi generasi muda dan sekaligus menjejaskan masa depan negara.

"Pelatih yang terdiri daripada remaja yang selama ini tidak bermasalah pun mudah terdedah kepada pelbagai anasir.Malah ada antaranya telah mempunyai rekod jenayah polis setelah terlibat dengan pelbagai perkara negatif dalam kem," katanya.