Pihak Pengurusan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi memang sudah mengetahui niat pelatih Pang Shu Juan untuk meninggalkan kem tersebut untuk menemui teman lelakinya.

Menurut jurulatih PLKN Danial Lim, Shu Juan telah menyatakan niatnya itu kepada rakan-rakan rapatnya sehari sebelum dia meninggalkan kem tersebut pada 10 April yang lalu.

Berikutan itu, katanya, rakan-rakannya itu telah memberitahu beliau mengenai rancangan Shu Juan untuk meninggalkan kem tersebut untuk menemui teman lelakinya.

Kemudian, Lim berkata, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada ketua Kolej Kediaman Engku Omar, tempat pelatih-pelatih berkenaan ditempatkan.

Katanya, beliau telah meminta ketua kolej kediaman itu supaya memberitahu kesemua pekerja sukarela di situ supaya mengawasi dan tidak membenarkan mana-mana pelatih daripada kumpulan tersebut keluar dari kem itu.

Sukarelawan tersebut merupakan kakitangan kolej kediaman berkenaan yang menempatkan para pelatih dan jurulatih PLKN sepanjang program tersebut berlangsung.

Menurut Lim, beliau berbuat demikian kerana dia memang menyedari Shu Juan mengalami masalah keluarga dan kemungkinan dia tidak balik semula ke kem tersebut jika dibenarkan keluar.

Masalah

Selepas itu, katanya beliau bersama-sama beberapa jurulatih lain kemudiannya pergi ke kem-kem di universiti lain atas urusan latihan dan tidak berada di Kem Bangi ketika Shu Juan keluar dari situ pada 10 April lalu.

"Apabila saya pulang semula ke Kem Bangi pada 13 April, saya mendapati Shu Juan tiada di situ dan diberitahu oleh pelatih-pelatih lain yang dia sudah keluar bersama teman lelakinya," katanya.

Berikutan itu, katanya, beliau terus pergi menemui pengetua kolej kediaman berkenaan untuk mengetahui apa yang berlaku sebenarnya.

"Dia memberitahu saya yang Shu Juan telah mendapat kelulusan untuk pulang, daripada salah seorang kakitangan di kolej kediaman tersebut, kerana dia tiada di sana ketika itu," katanya.

Sepatutnya, kata Lim, Shu Juan perlu mendapatkan kebenaran daripada pengetua itu sendiri sebelum boleh dibenarkan keluar dari kem tersebut.

Bagaimanapun, katanya, jika pengetua tersebut tidak ada, kakitangan lain di kolej kediaman tersebut boleh memberi kebenaran bagi pihaknya (pengetua).

Menurut Lim, pengetua berkenaan bagaimanapun menolak sebarang tanggungjawab berhubung kejadian itu tetapi sebaliknya berkata ia menjadi tanggungjawab Timbalan Pengarah LPKN yang dilantik di Kem UKM di Bangi.

Dakwaan dibuli

Kata Lim, pengetua berkenaan memberitahunya yang pihaknya dan pihak atasan PLKN akan menyelesaikan masalah itu.

Pada hari yang sama, kata Lim, beliau telah menghubungi telefon bimbit Shu Juan, tetapi panggilan itu dijawab oleh teman lelakinya.

"Teman lelakinya memarahi saya kerana mendakwa Shu Juan telah dibuli dan 'hidup sengsara' sewaktu menjalani latihan di kem tersebut. Saya juga terdengar rakan-rakannya turut memarahi saya...," katanya.

Menurutnya, beliau juga meminta untuk bercakap dengan Shu Juan tetapi tidak dilayani.

Pada 4 Mei, katanya, beliau terbaca berita dalam akhbar-akhbar tempatan yang melaporkan Shu Juan telah dilarikan daripada kem PLKN di Bangi.

"Selepas terbaca berita tersebut, barulah saya sedar yang pihak atasan tidak berbuat apa-apa berhubung kejadian tersebut," katanya.

Menurut Lim, pada hari berikutannya, beliau telah menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada Shu Juan untuk memujuk supaya kembali semula ke kem tersebut.

Dalam SMS tersebut, Lim telah memberitahu Shu Juan yang berita dan gambarnya tersiar di akhbar dan pihak polis sedang mencarinya, dan memintanya menyelesai masalah tersebut.

Gangguan seksual

Selepas tidak berhenti-henti memujuk mereka berdua melalui SMS, akhirnya teman lelaki Shu Juan menghubungi Lim menyatakan kesediaan Shu Juan untuk pulang semula ke kem di Bangi, dan mereka sedang menunggu di sebuah restoran di Johor Bahru.

Lim terus memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan PLKN yang kemudiannya mengarahkan Lim bersama dua lagi jurulatih untuk pergi membawa Shu Juan balik ke kem tersebut.

Mengenai dakwaan ibu saudara Shu Juan yang kakitangan PLKN di situ memberitahunya yang anak saudaranya itu dihantar mengikuti modul fizikal di Rembau, Lim berkata ia mungkin membabitkan pekerja bawahan PLKN yang tidak mahu bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Ditanya sama ada Shu Juan pernah mengalami gangguan seksual ketika kem tersebut, Lim berkata beliau sendiri pernah bertanyakan itu kepadanya.

"Tetapi Shu Juan tidak berani mengaku. Mungkin dia sengaja mereka-reka perkara itu sebagai alasan kerana takut dikenakan tindakan oleh pihak PLKN kerana meninggalkan kem tersebut pada 10 April lalu.

"Kami tidak memaksa Shu Juan. Dia percayakan kami dapat membimbingnya, lalu mengikut kami balik ke Bangi. Kini dia sendiri yang memilih untuk dipindahkan ke kem Mersing," kata Lim yang akan turut menghantar Shu Juan ke sana petang ini.

Katanya, mungkin kerana Shu Juan berpendidikan rendah, maka dia tidak memahami maksud "gangguan seksual" itu.

"Oleh itu, apabila ditanya oleh pihak media, Shu Juan mudah tersalah taksir maksud wartawan yang menyoalnya itu, sehingga membuat kenyataan sepertimana yang dilaporkan tersebut," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, pihak PLKN amat mengambil berat keadaan Shu Juan dan berharap laporan media kebelakangan ini tidak menjejaskan masa depannya.

Kerana itulah, katanya, pihak PLKN sentiasa mengawal Shu Juan semasa dia ditemuramah oleh pihak akhbar.