Saranan tolak Menteri dan MB terajui Pemuda Umno
Kini wujud sekelompok pemimpin dan ahli Pemuda Umno yang mahukan pergerakan itu dipimpin oleh individu yang tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.
Kini wujud sekelompok pemimpin dan ahli Pemuda Umno yang mahukan pergerakan itu dipimpin oleh individu yang tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.
Mereka mahu ahli-ahli pergerakan itu menolak mana-mana pemimpin yang menjadi menteri, menteri besar, timbalan menteri atau exco kerajaan negeri, dipilih menerajui pergerakan tersebut.
"Mereka mahu ketua Pemuda Umno bebas daripada ikatan tugas dan tanggungjawab terhadap dasar-dasar kerajaan, supaya dia lebih bebas mewakili pergerakan itu untuk menegurkan kerajaan apabila perlu berbuat demikian," kata sumber-sumber yang rapat dengan kelompok berkenaan.
Jika tidak, tambahnya, maka akan berlaku percanggahan kepentingan pemimpin berkenaan untuk memenuhi tugasnya sebagai seorang anggota kerajaan dan Ketua Pemuda Umno.
"Kerana itulah selama ini, Pemuda Umno gagal berfungsi sebagai kumpulan pendesak dalam kerajaan kerana kedudukan ketua pergerakan sendiri dalam kerajaan," tambahnya.
Lawan tauke
Menurutnya, buat masa ini Pemuda Umno dipimpin oleh Datuk Hishammuddin Hussein yang juga merupakan Menteri Pelajaran, manakala
bakal penggantinya
pula, jika beliau bertanding
naib presiden
, ialah Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, seorang menteri besar.
"Kedua-dua mereka adalah orang kerajaan dan anggota Kabinet. Sekali pandang, kedudukan itu memboleh mereka menyuarakan pandangan terus kepada kerajaan. Bagaimanapun, nampaknya sehingga ini, ia tidak berlaku," tegasnya.
Menurutnya, sebagai menteri dan menteri besar, Hishammuddin dan Dr Mohd Khir sudah tentu terikat dengan etika dan tanggungjawab masing-masing dalam melaksanakan dasar-dasar yang telah dipersetujui.
"Seandainya ada dasar-dasar yang tidak dipersetuju oleh pergerakan itu, bolehkah mereka menyuarakannya sama ada secara terbuka, ataupun sewaktu mesyuarat mingguan Kabinet?
"Kami rasa sudah tentunya ianya sukar mereka laku....nanti dianggap melawan tauke pula. Oleh itu, lebih baik lantik individu di luar kerajaan, menerajui pergerakan," tambahnya.
Kerana itulah, kata mereka, pergerakan Pemuda Umno Malaysia selama ini dilihat tidak bermaya kerana masalah-masalah berkenaan gagal atau sengaja tidak diberi perhatian sewajarnya.
Calon paling layak
Ditanya siapakah yang mereka rasakan layak untuk dipilih memegang jawatan tersebut, sumber-sumber itu berkata, setakat ini, yang paling layak ialah Datuk Aziz Sheikh Fadzir.
"Beliau memang dikenali lantang memperjuang hak-hak orang Melayu ... mengapa tidak kita berikan beliau peluang untuk memimpin pergerakan itu ... lagi pula beliau hanya seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Ketil di Kedah.
Ditanya sama ada Exco Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin juga dianggap layak untuk memimpin pergerakan itu, sumber-sumber tersebut berkata:
"Saya rasa lagi sukar untuk beliau melakukan tugas sebagai Ketua Pemuda Umno kerana beliau adalah menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ... lagi tidak sedap dipandang..."
"Nanti apa juga tindakan dan keputusan yang dibuat, akan dianggap bermatlamat untuk melindungi kepentingan bapa mertuanya .... baik jangan," tambahnya.
Sekurang-kurang sebuah lamanweb online - Umno Reform - turut menyuarakan saranan yang seirama dengan kelompok tersebut dengan mempertikaikan keupayaan menteri atau menteri besar bersikap kritikal terhadap kerajaan, jika dipilih memimpin Pemuda Umno.
Menurut lamanweb tersbut jika tradisi memilih menteri atau menteri besar menerajui pergerakan itu diteruskan, "kehadiran Pemuda kini lebih bersifat "pom-pom boys" atau tukang sorak Umno menari seperti yang ada pada perlawanan-perlawanan bola kerajang khususnya di negara-negara Barat".


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.