Pelatih hilang: Bukan lari, hanya pulang lewat
Pihak pengurusan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) hari ini menjelaskan empat pelatih wanita yang dilaporkan 'lari' dari Kem Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebenarnya lewat balik semula ke kem tersebut selepas dibenarkan pulang Sabtu lalu.
Pihak pengurusan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) hari ini menjelaskan empat pelatih wanita yang dilaporkan 'lari' dari Kem Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebenarnya lewat balik semula ke kem tersebut selepas dibenarkan pulang Sabtu lalu.
"Keempat-empat pelatih tersebut mendapat kebenaran pulang ke kampung. Mungkin timbul masalah apabila mereka lewat datang semula pada tarikh yang ditetapkan," kata Pegawai Perhubungan Awam PLKN di UKM, Saiful Abdul Ghani hari ini.
"Kes ini bukan kes lari...kalau kes lari, mereka tidak akan balik langsung. Mereka telah balik semula ke kem semalam. Pihak kami telah memberi amaran kepada mereka," katanya ketika dihubungi
malaysiakini
.
Beliau memberitahu demikian ketika ditanya mengenai laporan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau hari ini mengenai empat pelatih PLKN di Bangi yang dikatakan melarikan diri dan laporan polis telah dibuat mengenai kejadian tersebut.
Menurut akhbar berkenaan, laporan itu dibuat oleh pihak PLKN yang turut memaklumkan perkara tersebut kepada ibubapa pelatih berkenaan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Low Lee Leng yang turut bertugas sebagai pemantau PLKN berkata, pelatih terbabit telah dikenakan hukuman berkawat selama dua jam kerana pulang tanpa kebenaran.
Salahfaham
Katanya, beliau telah diberitahu oleh urusetia PLKM di UKM bahawa empat pelatih telah keluar dari kem tersebut Sabtu lalu selepas mereka menyertai aktiviti yang diadakan.
"Kempat-empat peserta itu dikatakan telah menyalin pakaian, lalu keluar dan tidak balik semula ke kem tersebut sehinggalah semalam.
"Pihak pengurusan PLKN menyedarai kehilangan mereka selepas membuat pemeriksaan nama," katanya kepada malaysiakini .
Bagaimanapun, kata Low, kejadian tersebut bukanlah kesalahan jurulatih atau pihak urusetia kem berkenaan, tetapi mungkin akibat salahfaham pelatih-pelatih terbabit mengenai peraturan di situ.
"Kemungkinan mereka bertindak sedemikian kerana tidak tahu prosedur untuk memohon kebenaran jika mahu keluar dari kem," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelatih-pelatih PLKN supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan di kem latihan masing-masing, khususnya berhubung prosedur untuk keluar dari kem.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.