Peguam S Uthayakumar, yang juga seorang aktivis hak asasi manusia, mengalami kecederaan selepas diserang oleh beberapa lelaki yang tidak dikenali sewaktu sedang memandu keretanya di Jalan Medang Tandok dekat Bangsar di Kuala Lumpur semalam.

Dalam kejadian yang berlaku jam 7.15 malam itu, Uthayakumar berkata beliau ternampak salah seorang daripada lelaki terbabit telah mengacu pistol ke arahnya.

Akibat kejadian itu, beliau mengalami kecederaan di tangan, muka, kaki, lutut, bahagian badan belakang dan kepalanya.

Dalam laporan polisnya yang dibuat di balai polis Brickfields malam tadi, Uthayakumar mendakwa 'pegawai tinggi polis' terbabit dalam serangan terhadapnya itu kerana beliau telah mengendalikan banyak kes-kes terhadap polis sejak lima tahun lalu.

Dalam laporan polis yang sama, beliau berkata serangan itu berkaitan dengan kes terbaru yang sedang dikendalikannya melibatkan Francis Udayapan yang didakwa telah dibunuh dalam lokap polis dan dibuang ke dalam sungai.

Mengulas lanjut dalam laporannya, Uthayakumar berkata ketika sedang memandu di Jalan Medang Tandok, beliau ternampak seorang lelaki mengekori keretanya dalam keadaan yang mencurigakan.

Tiba-tiba, katanya, sebuah kereta berwarna merah berhenti di hadapan kereta beliau dan seorang lelaki turun sambil memegang penukul batu dan menuju ke arah keretanya.

Bergelut

Beliau bertindak membelok ke sebelah kanan sehingga keretanya terlanggar tiang lampu di situ.

Menurut laporan polis itu lagi, Uthayakumar memdakwa lelaki berkenaan memecahkan cermin depan keretanya dan cermin pintu sebelah pemandu dengan penukul batu itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau dapat merebut penukul batu tersebut dan bergelut dengan mereka yang menyerang itu.

Pada masa itu, katanya, beliau ternampak seorang lagi lelaki yang dipercayainya menaiki motosikal, mengacu pistol ke arahnya.

Berikutan itu, katanya, beliau terus melompat keluar dari keretanya lalu terjatuh ke tanah akibat disandung oleh salah seorang penyerang tersebut.

Katanya, beliau bingkas bangun dan berlari tetapi terjatuh semula apabila lagi sekali disandung oleh penyerangnya. Bagaimanapun, beliau akhirnya berjaya bangun semula dan melarikan diri dari tempat itu.

Selepas itu, katanya beliau menelefon beberapa rakan peguam dan beberapa orang kawan lain sebelum pulang ke rumahnya.

Kereta hilang

Dalam laporan polis itu lagi, Uthayakumar berkata kira-kira tiga minggu lalu, beliau telah membuat laporan polis kerana mempercayai pihak polis terbabit dalam kejadian memecah cermin depan keretanya di tempat letak kereta di pejabatnya.

Dalam laporan tersebut, beliau secara khusus meminta polis memberi perlindungan 24 jam untuknya tetapi ianya tidak dilakukan.

Katanya, kira-kira dua jam kemudian apabila balik semula ke tempat kejadian untuk mengambil gambar dan rakaman video, beliau mendapati keretanya telah hilang.

Difahamkan, kereta beliau telah diambil oleh polis untuk siasatan berikutan laporannya itu, tanpa memberitahunya terlebih dahulu

Uthayakumar berkata beliau juga telah membuat beberapa laporan dan turut menulis surat kepada Ketua Polis Negara (KPN) berhubung panggilan ugutan yang diterimanya setiapkali dia mengendali kes-kes terhadap polis, tetapi tiada tindakan diambil.

Beliau juga menggesa Suruhanjaya Polis - yang ditubuhkan baru-baru ini untuk menyiasat dakwaan tindakan kejam polis dan perbuatan rasuah - supaya mengadakan siasatan segera terhadap perkara tersebut.

Manakala Ketua Polis Brickfields, Zulhassnan Najib Baharuddin, mengesahkan telah menerima laporan Uthayakumar mengenai serangan terhadapnya semalam. Katanya, kes itu sedang disiasat dan belum ada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.

Ugutan

Sementara itu, adik mangsa, Wanytha Moorthly, juga seorang peguam, memberitahu sidang media hari ini yang beliau telah menerima satu panggilan pada 8 Mei lalu untuk bercakap dengan abangnya (Uthayakumar).

Bagaimanapun, katanya, pada masa itu, abangnya sedang berada di luar negara.

"Lelaki tersebut telah meninggal pesan kepada abang saya supaya "jangan bermain-main dengan polis, jika tidak dia akan dibunuh ..." kata Wanytha.

Bercakap di sidang media yang sama, Uthayakumar percaya kejadian semalam ada kaitan dengan kes Francis Udayapan bulan lepas.

"Ini kerana saya tidak pernah bermusuh dengan sesiapa dan baru-baru ini saya telah mengendalikan beberapa kes terhadap polis," tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi DAP, Lim Kiat Siang, menyifatkan kejadian semalam sebagai "hari hitam" di mana seorang peguambela telah diugut sehingga nyaris di timpa kemalangan.

Beliau yang turut hadir di sidang media itu berkata dia akan merujuk perkara tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang ini.