Pegawai dan jurulatih PLKN di Melaka turut dipecat?
Seorang pegawai kanan dan tiga jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kem Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Melaka dikatakan telah diberhentikan selepas bertindak mengusir empat peserta lelaki PLKN dari kem tersebut Selasa lalu.
Seorang pegawai kanan dan tiga jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di kem Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Melaka dikatakan telah diberhentikan selepas bertindak mengusir empat peserta lelaki PLKN dari kem tersebut Selasa lalu.
Menurut sumber-sumber PLKN, ini kerana mereka telah bertindak di luar bidang kuasa tanpa merujuk terlebih dahulu kepada ibu pejabat PLKN berhubung perkara tersebut.
Sebaliknya, kata beliau, mereka telah mengeluarkan surat mengarahkan keempat-empat peserta tersebut pulang, walaupun mereka belum tamat menjalani latihan modul fizikal di situ.
Empat peserta tersebut - Ng Kim Hock, Soh Kia Lun, Ton Kian Heng dan Yeo Wei Leong - diarah pulang kerana didakwa melakukan banyak kesalahan, termasuk dakwaan melaporkan perkara tidak benar kepada pihak berkuasa, media dan ibubapa mereka.
Mereka menerima surat arahan tersebut yang ditandatangani bagi pihak pengarah kem berkenaan, Mejar (B) Abdullah Yusof yang berbunyi: "wira yang bernama di atas dengan ini dibenarkan pulang mulai 11 Mei 2004 sehingga tamat latihan modul fizikal siri 3/04".
Mereka kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Air Keroh kerana mendakwa dipukul oleh jurulatih di kem tersebut, sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Besar Melaka.
Etika jurulatih
Katan sumber tersebut, kesemua pegawai dan jurulatih PLKN adalah tertakluk kepada kod etika jurulatih yang mesti mereka patuhi.
"Kakitangan yang melanggar prosedur tersebut serta didapati menyalahgunakan kuasa, boleh dikenakan tindakan dislipin, termasuk diberhentikan," tambahnya.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kementerian Pertahanan (Bahagian Pengurusan) PLKN, Datuk Sirajuddin Salleh mengesahkan bahawa komandan kem PLKN tidak berhak untuk mengusir peserta dari kem mereka.
Katanya, hanya ibu pejabat PLKN di Kuala Lumpur sahaja mempunyai kuasa untuk berbuat sedemikian.
Bagaimanapun, kata Sirajuddin, pihaknya masih menjalankan siasatan berkaitan perkara tersebut.
Sementara itu, Bernama melaporkan Komandan Kem Latihan Etnobotani, Gua Musang telah diberhentikan serta merta kerana melanggar peraturan dan arahan sehingga menyebabkan kematian seorang peserta PLKN Sabtu lalu.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tindakan itu diambil kerana kerajaan telah
mengarahkan
supaya diadakan aktiviti mandi-manda di sungai selepas seorang peserta PLKN mati lemas di Sarawak.
Perlindungan insurans
Bagaimanapun, komandan membenarkan 250 peserta PLKN mandi di Sungai Taman Wangi, di Gua Musang Sabtu lalu mengakibatkan seorang daripadanya, T Saravanan, 18, lemas lemas.
"Ini pengajaran bagi semua pihak... apabila pelatih diletak di bawah jagaan mereka, ibu bapa dan kerajaan mengharapkan (mereka) mesti menjaga kepentingan pelatih dengan sebaik mungkin. Ambil segala kawalan keselamatan termampu," katanya selepas selepas melawat keluarga mendiang Saravanan di kuarters Hospital Taiping, hari ini.
Turut sama ialah Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga anggota parlimen Taiping, Datuk M. Kayveas.
Najib juga menyampaikan cek bernilai RM107,000 iaitu insurans kemalangan Takaful Nasional kepada bapa mangsa, M. Terumany, 54, manakala Samy Vellu menyampaikan sumbangan RM10,000. Kerajaan Perak turut menyumbang RM3,000 yang disampaikan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Kapt (B) Najmuddin Alias Al-Hafiz.
Manakala Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman , Datuk Musa Hassan, ketika dihubungi malaysiakini , mengesahkan bahawa pihak polis ada menerima laporan daripada seorang peserta PLKN yang mendakwa dirogol oleh seorang pemuda yang baru dikenalinya.
Dalam laporannya, peserta terbabit mendakwa kejadian itu berlaku sewaktu dia keluar dari kem tersebut bersama dua rakan perempuannya yang lain.
Sebuah akhbar tempatan melaporkan hari ini, yang peserta tersebut mendakwa dirogol oleh lelaki berkenaan serta diambil gambar dalam keadaan bogel di sebuah hotel di antara 30 April dan 1 Mei lalu.
Pihak polis sedang menyiasat kes tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.