Husam diminta jangan paksa Tok Pa menganggotai MTEK
Keanggotaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed dalam Majlis Tindakan Ekonomi Kelantan (MTEK) tidak akan memberi sebarang makna, kerana MTEK bukan badan tertinggi dalam kerajaan negeri Kelantan.
Keanggotaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed dalam Majlis Tindakan Ekonomi Kelantan (MTEK) tidak akan memberi sebarang makna, kerana MTEK bukan badan tertinggi dalam kerajaan negeri Kelantan.
"Apa juga keputusan yang dibuat oleh MTEK tidak semestinya diterima atau dilaksanakan oleh kerajaan negeri kerana ia masih tertakluk kepada kata putus Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh PAS," kata jurucakap Umno Kelantan .
"Dalam ini, Datuk Mustapa bukan sebahagian daripada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri. Kerana itulah beliau menolak tawaran untuk menganggotai MTEK,," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Exco kerajaan negeri, Husam Musa bahawa PAS amat berharap Mustapa menerima pelawaan itu.
"Katakanlah kerajaan PAS Kelantan bersetuju melaksanakan cadangan MTEK, tetapi ia tidak mempunyai sumber kewangan untuk melaksanakannya. Kerana itulah tawaran tersebut tidak membawa sebarang makna, walaupun dikatakan untuk kebaikan rakyat Kelantan sendiri," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Sebelum ini, Husam telah membuat pelawaan terbuka kepada Mustapa dan juga bendahari Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin untuk menganggotai MTEK.
Husam dilaporkan berkata, surat tawaran tersebut akan dihantar kepada Mustapa yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Dr Awang selewat-lewatnya minggu depan. Dr Awang juga merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar.
Malah, mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan semalam juga, telah meluluskan secara rasmi cadangan untuk melantik Mustapa sebagai pengerusi secara bergilir-gilir dengan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Bermotif politik
Sehubungan itu, jurucakap itu menasihatkan kerajaan PAS Kelantan supaya jangan memaksa orang luar untuk 'menyelesaikan masalah rumahtangganya, jika orang berkenaan tidak berminat untuk berbuat demikian.
Sebaliknya, kata beliau, tawaran kepada Pengerusi Mustapa dan Dr Awang Adek untuk menganggotai MTEK juga jelas bermotifkan politik.
"Kalau PAS benar-benar ikhlas memerlukan banguan pemimpin Umno, dalam hal ini Datuk Mustapa untuk membantu membangunkan rakyat Kelantan, mengapa tawaran itu tidak dibuat sepuluh tahun yang lalu...Mengapa baru sekarang?
"Ianya tidak praktikal walaupun PAS menawarkan Datuk Mustapa menjadi pengerusi MTEK secara bergilir-gilir dengan Datuk Nik Aziz," tegasnya.
Apa yang jelas, katanya, rakyat Kelantan sudah menyatakan mesej mereka dalam pilihanraya umum yang baru lalu bahawa mereka mereka mahukan perubahan di negeri tersebut.
"Kalau tidak kerana beberapa masalah teknikal, kerajaan PAS sudah tumbang kerana rakyat Kelantan mahu Barisan Nasional (BN) amnya, dan Umno khasnya untuk kembali berkuasa di negeri itu," katanya.

