Lebuhraya SILK: Penduduk Kajang Utama akan buat bantahan setiap minggu
Penduduk Kajang Utama akan mengadakan bantahan setiap hari Ahad sehingga Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menunaikan janjinya untuk membina laluan alternatif berikutan pembinaan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK) yang kini memisahkan taman itu dengan bandar Kajang dan taman-taman sekitarnya.
Penduduk Kajang Utama akan mengadakan bantahan setiap hari Ahad sehingga Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menunaikan janjinya untuk membina laluan alternatif berikutan pembinaan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK) yang kini memisahkan taman itu dengan bandar Kajang dan taman-taman sekitarnya.
Pagi semalam, kira-kira 300 penduduk Kajang Utama mengadakan perhimpunan secara aman di tepi lebuhraya itu mulai jam 10 pagi bagi menuntut LLM menunaikan janjinya itu.
Bantahan tersebut turut disertai peniaga di Taman Kajang Utama kerana perniagaan amereka aken terjejas apabila taman tersebut "terasing" dengan taman-taman sekitar apabila lebuhraya itu siap kelak.
Mereka bersurai kira-kira sejam kemudian apabila kira-kira 15 anggota polis anti-rusuhan dari Balai Polis Kajang tiba di tempat perhimpunan tersebut. Pihak polis terbabit menasihatkan mereka bersurai kerana perhimpunan itu diadakan tanpa mendapat kebenaran polis.
Beberapa penduduk dan wakil-wakil parti politik termasuk dari parti komponen Barisan Nasional (BN), menjelaskan kepada pihak polis mengenai masalah yang dihadapi penduduk kerana ketiadaan jalan alternatif dari situ ke kawasan sekitarnya.
Beberapa penduduk di situ juga menyuara rasa kesal mereka kerana kedua-dua wakil rakyat BN yang menang dalam pilihanraya umum yang baru lalu, termasuk Ahli Parlimen Serdang Datuk Yap Pian Hoon tidak hadir walaupun dijemput.
Sebelum ini, semasa menggunakan jalan lama, mereka tidak menghadap masalah untuk ke Jalan Bukit dan turun ke Jalan Reko sama ada untuk ke bandar Kajang ataupun ke Bangi.
Terowong
Bagaimanapun, dengan pembinaan lebuhraya tersebut dari Taman Prima ke Sungai Chua dan seterusnya ke Tol Kajang, jalan pintas ke Jalan Bukit itu telahpun ditutup walaupun pembinaan SILK belum lagi siap sepenuhnya.
Hasil desakan penduduk di situ, LLM telah menyatakan persetujuan untuk membina "laluan atas' di antara Jalan Kajang Utama ke Jalan Bukit. Ini termasuk kemungkinan membina terowong di antara kedua tempat tersebut.
Persetujuan itu dicapai sebelum pilihanraya umum yang baru lalu, atas dayausaha Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang ketika itu, Dr Shafie Abu Bakar.
Selain membantah rancangan mendirikan rumah tol di Kajang Utama, mereka juga turut membantah cadangan menggunakan pusingan-U sebelum tol di Kajang Prima.
Namun begitu, pada bulan Mac lalu , pihak SILK meneruskan pembinaan pembahagi jalan konkrit yang menutup terus persimpangan jalan berlampu isyarat ke Jalan Bukit dan seterusnya ke Bandar Kajang.
Sejak itu, penduduk Kajang Utama yang hendak ke Jalan Bukit terpaksa turun ke Jalan Reko dan naik kembali ke Jalan Bukit yang jaraknya empat kali ganda jauhnya. Buat masa ini, persimpangan di sebelah Jalan Bukit dan Kajang Sentral ke Taman Kajang Utama masih dibuka.
Bagaimanapun, jarak tersebut akan menjadi lebih jauh lagi apabila lebuhraya itu siap sepenuhnya kerana mereka terpaksa naik ke tempat pusingan-U dekat Tol Kajang Prima untuk pulang ke Taman Kajang Utama.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.