Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan menunaikan janjinya untuk membina laluan alternatif berikutan pembinaan Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK) yang kini memisahkan Taman Kajang Utama dengan bandar Kajang dan taman-taman sekitarnya.

Ketika memberi jaminan tersebut, Timbalan Ketua Pengarah (Teknikal) LLM, Datuk Ghazali Md Nor berkata, laluan alternatif itu sama ada berupa jejantas ataupun terowong yang akan menghubungkan taman tersebut dengan bandar Kajang, melalui Jalan Bukit.

Katanya, proses pembinaan jejantas atau terowong tersebut dijangka memakan masa kira-kira satu setengah tahun.

Menurutnya, ini termasuk tempoh yang diperlukan untuk mendapatkan peruntukan, proses memanggil tender dan proses pembinaannya.

Oleh itu, beliau meminta penduduk Taman Kajang Utama supaya dapat bersabar kerana LLM memang sudah bersetuju untuk membina laluan alternatif tersebut.

"Pihak kami juga telahpun memaklumkan perkara itu kepada Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hoon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi, Dr Imran Kasimin," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Ahad lalu, kira-kira 300 penduduk Kajang Utama mengadakan perhimpunan secara aman di tepi lebuhraya itu mulai jam 10 pagi bagi menuntut LLM menunaikan janjinya itu.

Sensitif

Bantahan tersebut turut disertai peniaga di Taman Kajang Utama yang khuatir perniagaan mereka akan terjejas apabila taman tersebut "terasing" dengan taman-taman sekitar apabila lebuhraya itu siap kelak.

Mereka bersurai kira-kira sejam kemudian apabila kira-kira 15 anggota polis anti-rusuhan dari Balai Polis Kajang tiba di tempat perhimpunan tersebut. Pihak polis terbabit menasihatkan mereka bersurai kerana perhimpunan itu diadakan tanpa mendapat kebenaran polis.

Beberapa penduduk dan wakil-wakil parti politik termasuk dari parti komponen Barisan Nasional (BN), menjelaskan kepada pihak polis mengenai masalah yang dihadapi penduduk kerana ketiadaan jalan alternatif dari situ ke kawasan sekitarnya.

Menurut Ghazali lagi, sehingga jejantas atau terowong itu siap dibina, buat masa ini, penduduk boleh turun ke Jalan Reko dan naik kembali ke Jalan Bukit.

Manakalal persimpangan di sebelah Jalan Bukit dan Kajang Sentral ke Taman Kajang Utama masih dibuka untuk kegunaan penduduk.

Menurut Ghazali, apabila lebuhraya SILK itu dibuka sepenuhnya, penduduk ke Taman Kajang Utama perlu membuat pusingan-U yang terletak kira-kira dua kilometer berhampiran Jalan Semenyih.

"Kalau di lebuhraya, jarak dua kilometer bukan jauh sangat...kerajaan sememangnya sensitif terhadap masalah rakyat. Oleh itu, saya meminta mereka bersabar dan tunggulah sehingga laluan alternatif itu siap dibina," katanya.

Di samping itu, beliau juga menasihatkan penduduk terbabit supaya jangan mudah terpengaruh dengan hasutan pihak-pihak tertentu untuk mengadakan perhimpunan bantahan setiap hari Ahad.

"Apa yang hendak dibantah lagi...kerajaan telah bersetuju untuk membina laluan alternatif yang mereka minta... dan kita kini dalam proses melaksanakannya.," tambah beliau.