Tindakan Exco Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Sulit II di Pejabat Perdana Menteri, membuka peluang semula untuknya dicalonkan bertanding jawatan naib ketua pergerakan itu.

"Dalam keadaan beliau tidak terikat dengan jawatan yang berkaitan mertuanya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, maka Khairy kini boleh bertanding dengan kekuatannya sendiri," kata sumber-sumber pergerakan tersebut.

Perdana Menteri semalam dilaporkan mengesahkan Khairy telah meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Sulit II di Pejabat Perdana Menteri, baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai sebab mengapa Khairy meletakkan jawatan, Abdullah berkata: "Pasal itu adalah pilihan dia sendiri. Dia nak berhenti maka dia berhentilah saya pun tak ganggu, saya pun tak menahan."

Sumber-sumber berkata, sewaktu Khairy memegang jawatan tersebut, kedudukannya agak 'sukar' kerana ada bahagian-bahagian yang keberatan untuk mencalonkannya bagi sebarang jawatan dalam pergerakan tersebut, kerana takut dituduh "cuba mengampu" Pak Lah.

"Ada sesetengahnya beranggapan apabila Khairy tidak terpilih bertanding dalam pilihanraya umum yang lalu, ia merupakan isyarat daripada Pak Lah yang tidak mahu anak menantunya memegang jawatan penting dalam parti," katanya.

Tidak bertanding

Sebelum ini, timbul spekulasi yang mengatakan Khairy akan dicalonkan untuk bertanding jawatan naib ketua Pemuda Umno Malaysia.

Malah, timbul juga desas-desus yang beliau berganding bahu dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang dikatakan berminat bertanding jawatan ketua Pemuda Umno.

Bagaimanapun, Dr Mohd Khir telah membatalkan hasratnya itu selepas Menteri Pendidikan, Datuk Hishammuddin Hussein mahu mengekalkan jawatan Ketua Pemuda dalam pemilihan parti kali ini.

Sebelum ini, Hishammuddin dikatakan akan bertanding jawatan naib presiden dan kekosongan jawatan ketua Pemuda Umno itu akan diisi oleh Dr Mohd Khir.

"Walaupun pertandingan dijangka tidak berlaku bagi jawatan Ketua Pemuda Umno, tetapi ramai yang percaya Khairy akan dicalonkan untuk bertanding jawatan naib Ketua Pemuda," tambah sumber-sumber itu.

Menurutnya, ramai ahli-ahli Pemuda Umno yang bersimpati dengan nasib Khairy yang seperti telah "terikat tangan dan kakinya" semata-mata beliau adalah menantu kepada Perdana Menteri.

Kenaikan mendadak

"Saya secara peribadi berpendapat tidak salahnya jika Khairy dicalonkan bertanding bagi jawatan tersebut, kerana ada pemimpin Pemuda Umno sebelum inipun naik kerana pengaruh keluarga masing-masing.

"Ini jelas dapat dilihat dengan kenaikan mendadak Datuk Seri Najib Abdul Razak yang sebelum ini pernah menjadi menteri besar, ketua Pemuda Umno, naib presiden Umno dan kini menjadi Timbalan Perdana Menteri.

"Begitu juga dengan Datuk Hishammuddin. Kenaikan mendadak beliau dalam hirarki Umno dan kerajaan juga ada kaitan dengan Allahyarham bapanya, Tun Hussein Onn yang juga merupakan perdana menteri Malaysia yang ketiga," tambahnya.

Oleh itu, katanya, Khairy juga perlu diberi peluang untuk memberi sumbangan bagi memantapkan lagi kepimpinan pergerakan Pemuda Umno Malaysia.

Ditanya mengenai peluangnya untuk mengalahkan naib ketua Pemuda Umno sekarang, Datuk Aziz Sheikh Fadzir, sumber-sumber itu berkata: "Sekiranya Khairy dicalonkan untuk jawatan tersebut, kami difahamkan bahawa Datuk Aziz tidak akan mempertahankannya, sebaliknya akan dicalonkan bertanding kerusi Majlis Tertinggi."