Azimi Daim sah bertanding naib ketua Pemuda Umno
Ketua penerangan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Azimi Daim sah akan bertanding merebut jawatan naib ketua pergerakan itu, satu-satunya jawatan yang bakal dipertandingkan dalam pemilihan parti September ini.
Ketua penerangan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Azimi Daim sah akan bertanding merebut jawatan naib ketua pergerakan itu, satu-satunya jawatan yang bakal dipertandingkan dalam pemilihan parti September ini.
Sumber-sumber yang rapat dengan beliau mengesahkan bahawa Azimi kali ini sudah bersedia untuk
merebut jawatan
tersebut yang bakal dikosongkan oleh Datuk Aziz Sheikh Fadzir kerana melebihi had usia 40 tahun sepertimana yang disyaratkan perlembagaan parti.
"Datuk Azimi telahpun menyatakan kesediaannya untuk bertanding kali ini. Pada umumnya, tinjauan rambang yang kami jalankan setakat ini menunjukkan Datuk Azimi mendapat sokongan akar umbi untuk memegang jawatan tersebut," katanya kepada malaysiakini .
Setakat ini, Datuk Hishammuddin Hussein Onn juga disahkan akan mengekalkan jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia yang disandangnya sejak tahun 2000.
Menurut peraturan pergerakan tersebut, Aziz terpaksa melepaskan jawatan naib ketua yang disandangnya kerana sudah melebihi umur 40 tahun tetapi masih boleh bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda yang tidak mensyaratkan sebarang had umur.
Bagaimanapun, Aziz dipercayai akan dicalonkan oleh pergerakan tersebut untuk bertanding bagi jawatan dalam Majlis Tertinggi Umno (MT).
Dalam pilihanraya umum yang baru lalu, Azimi bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru dan berjaya menewaskan calon PAS dengan majoriti 3,878 undi.
Sokongan akar umbi
Azimi memperolehi 10,752 undi manakala Yaakob Hussin dari PAS mendapatkan 6,874 undi.
Menurut sumber-sumber itu lagi, Azimi yang petah ketika menyampai ucapan cukup disenangi oleh ahli-ahli Umno, khususnya dari Pemuda, di peringkat akar umbi.
"Kerana itu jugalah, pengundi di DUN Bandar Baru memilih beliau dalam pilihanraya umum yang baru lalu dengan majoriti yang besar," tambahnya.
Sementara itu, Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, memutuskan untuk mencalonkan ahli Exco Pemuda Umno yang juga Ketua Pemuda Bahagian Wangsa Maju, Datuk Mohamad Norza Zakaria bertanding merebut jawatan naib ketua pergerakan itu.
Pergerakan itu juga turut meluluskan ketetapan sebulat suara supaya Hishammuddin mengekalkan jawatan ketua Pemuda tanpa dicabar dalam pemilihan parti September ini.
Ketua pemuda WP, Datuk Haidar Ali Sheikh Fadzir berkata, pihaknya juga memutuskan untuk mencalonkan Norza kerana melihat Pergerakan Pemuda Umno terus mantap di samping memastikan adanya kesinambungan dalam kepimpinan Pemuda.
Perhimpunan Agung Umno tahun ini yang akan diikuti dengan pemilihan tertinggi parti termasuk pemilihan barisan kepimpinan Puteri, Wanita dan Pemuda dari 22 hingga 25 September .
Manakala mesyuarat bagi semua 19,000 cawangan Umno akan diadakan selama sebulan mulai I Jun depan, manakala persidangan bagi 191 bahagian pula akan berlangsung selama dua minggu mulai 8 hingga 22 Julai ini.

