Kempen kekalkan Hishammuddin terajui Pemuda Umno bermula
Kempen sudah digerakkan bagi memastikan semua bahagian hanya mencalonkan Datuk Hishammuddin Hussein untuk mengekalkan jawatannya sebagai ketua pergerakan tersebut.
Kempen sudah digerakkan bagi memastikan semua bahagian hanya mencalonkan Datuk Hishammuddin Hussein untuk mengekalkan jawatannya sebagai ketua pergerakan tersebut.
Sumber-sumber yang rapat dengan pergerakan itu memberitahu
malaysiakini
, mulai sekarang, semua Pergerakan Pemuda Umno negeri akan mengadakan mesyuarat exco masing-masing bagi membuat ketetapan supaya Hishammuddin tidak dicabar dalam permilihan parti September ini.
Bagaimanapun, katanya, bahagian-bahagian berkenaan diberi kebebasan untuk mengemukakan calon masing-masing bagi jawatan naib ketua pergerakan itu.
"Kami difahamkan yang Datuk Hishammuddin akan mengambil sikap berkecuali dalam pemilihan naibnya dan menyerahkannya kepada bahagian-bahagian untuk membuat pencalonan," tambahnya.
Penyandangnya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir akan melepaskan jawatan tersebut kerana melebihi umur 40 tahun sepertimana yang disyaratkan oleh perlembagaan parti.
Tidak dicabar
Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan telah merintis usaha tersebut apabila meluluskan ketetapan sebulat suara Jumaat lalu supaya Hishammuddin dikekalkan tanpa dicabar sebagai sebagai ketua pergerakan itu bagi penggal 2004/2007.
Ketua Pemudanya, Datuk Haidar Ali Sheikh Fadzir berkata ketetapan itu diputuskan oleh mesyuarat exconya bagi memastikan pergerakan itu terus mantap di samping memastikan adanya kesinambungan dalam kepimpinan Pemuda.
Pemuda Umno Wilayah Persekutuan juga memutuskan untuk mencalonkan Exco pergerakan itu, yang Ketua Pemuda Bahagian Wangsa Maju, Datuk Mohamad Norza Zakaria bertanding naib presiden.
Ini diikuti oleh Pemuda Umno Selangor yang meluluskan usul agar jawatan ketua Pemuda tidak ditandingi dengan Hishammuddin kekal sebagai ketua pergerakan itu, dengan alasan, antaranya bagi mengurangkan unsur politiking dan mengekalkan kestabilan dalam pergerakan itu.
Pengumuman ini sekaligus menjawab spekulasi mengenai kemungkinan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo bertanding merebut jawatan tersebut.
Keputusan itu dibuat sebulat suara dalam satu mesyuarat khas jawatankuasa Pemuda Umno Selangor dua hari lalu, yang dipengerusikan oleh Ketua Pemuda Umno negeri, Raden Mokhtar Mohamed Yusof dan dihadiri semua ketua Pemuda bahagian.
Sokongan majoriti
Menurut sumber-sumber itu lagi, pergerakan Pemuda Umno negeri-negeri lain akan mengadakan mesyuarat khas masing-masing dalam masa terdekat ini untuk tujuan yang sama.
Katanya, penyataan sokongan terbuka tersebut penting bagi Hishammuddin sebagai mencerminkan bahawa kepimpinan beliau masih lagi diperlukan oleh pergerakan tersebut bagi penggal akan datang.
"Ia juga bertujuan untuk 'mematikan' sebarang spekulasi yang beliau akan mengosongkan jawatan ketua Pemuda untuk jawatan naib presiden parti," katanya lagi.
Mengenai calon naib ketua, sumber-sumber itu berkata, ketua penerangan Pemuda Umno Malaysia, Datuk
Azimi Daim
dijangka tidak menghadapi sebarang masalah untuk memenangi jawatan tersebut.
"Walaupun Pemuda Umno Wilayah Persekutuan turut mencadangkan Datuk Norza, tetapi beliau tidak dianggap sebagai satu penghalang bagi Azimi untuk mendapatkan sokongan majoriti di peringkat bahagian-bahagian yang akan bermesyuarat Julai ini," tambahnya.
Sebelum, ada laporan yang mengaitkan Exco Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk dicalonkan untuk bertanding jawanatn naib ketua pergerakan tersebut.
Azalina menawar diri
Sementara itu, Bernama melaporkan, ketua Puteri Umno, Datuk Azalina Othman Said yang tidak lagi boleh menerajui pergerakan itu kerana faktor umur, menawarkan diri bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi Umno.
"Saya hanya menawarkan diri untuk bertanding jawatan MT sahaja," katanya selepas meninjau kemudahan di Pusat Media Utama (PMU), Sukan Malaysia (Sukma) di Seremban hari ini.
Ditanya kemungkinan beliau bertanding merebut jawatan dalam Pergerakan Wanita Umno, Azalina yang juga Menteri Belia dan Sukan, Azalina berkata: "Saya tidak bersedia dan tidak mahu. Lebih baik saya tumpukan perhatian saya kepada tugas di kementerian saya."
Mengulas sama ada jawatan dalam Puteri Umno akan dipertandingkan, Azalina berkata semua jawatan termasuk ketua Puteri akan dipertandingkan dalam pemilihan sayap baru Umno itu.
"Dalam perlembangaan Puteri, apabila pemimpin telah melepasi had umur 40 tahun maka jawatan itu dipertandingkan," kata Azalina.
Azalina berkata Perlembagaan Puteri Umno berbeza daripada perlembagaan sayap-sayap lain dalam Umno.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.