Aziz sokong Khairy tanding jawatan naib ketua
Naib ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dianggap tidak bersikap adil apabila secara terbuka menyatakan sokongannya kepada Exco Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bertanding jawatan berkenaan.
Naib ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dianggap tidak bersikap adil apabila secara terbuka menyatakan sokongannya kepada Exco Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bertanding jawatan berkenaan.
Aziz yang juga merupakan ketua Pemuda Umno Kedah, tidak boleh mempertahankan jawatan itu kerana faktor umur, dilaporkan menyatakan sokongannya kepada menantu perdana menteri itu untuk menggantikan tempatnya sebagai naib ketua Pemuda.
"Datuk Aziz selaku orang nombor dua dalam Pemuda Umno tidak sepatutnya menyatakan sokongan terbuka kepada Khairy. Itu satu tindakan yang tidak bijaksana," kata sumber-sumber yang rapat dengan pergerakan tersebut.
"Ini kerana beliau akan meninggalkan Pemuda selepas ini, jadi biarlah Pemuda sendiri yang menentukan siapakah pilihan mereka," katanya kepada malaysiakini .
"Memandangkan Datuk Aziz juga masih orang nombor dua dalam Pemuda Umno, maka kenyataannya mengenai sokongan terbukanya kepada Khairy, seolah-olah bermakna majoriti ahli pergerakan itu mahukan beliau (Khairy) mengisi jawatan tersebut," kata sumber-sumber itu lagi.
Di samping itu, kata sumber-sumber itu, seorang lagi pemimpin, Datuk Azimi Daim juga akan mencuba nasib bertanding bagi jawatan nombor dua dalam pergerakan tersebut.
Usul tidak percaya
"Memandangkan semua orang tahu yang hubungan Datuk Azimi dan Datuk Abdul Aziz dan abangnya, Datuk Abdul Kadir, tidak begitu rapat, jadi kenyataan terbuka menyokong Khairy boleh membawa kepada pelbagai interpretasi," katanya.
Sebelum ini, Azimi yang juga merupakan ketua pergerakan Pemuda Umno bahagian Bandar Bharu-Kulim menghadapi usul tidak percayai yang dibawa terhadap kepimpinannya. Abdul Kadir adalah ketua bahagian tersebut.
Berikutan itu, Ketua Pemuda Umno Malaysia, Datuk Hishammuddin Hussein telah mengarahkan sebuah sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyiasat perkara tersebut.
Azimi yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru, dilantik sebagai exco kerajaan negeri, tetapi Aziz yang turut memenangi kerusi DUN Kuala Ketil, tidak dilantik memegang sebarang jawatan di peringkat negeri.
Menurut sumber-sumber itu, dengan mengambil kira latarbelakang senarai politik yang membabitkan Azimi, Aziz dan Abdul Kadir, maka tindakan Aziz memberi sokongan terbuka kepada Khairy adalah tidak bijaksana.
Sabtu lalu, Abdul Aziz yang dipilih sebagai naib ketua Pemuda Umno pada tahun 2000, dilaporkan menyatakan sokongannya kepada Khairy untuk menggantikan tempatnya sebagai naib ketua Pemuda.
Dalam kenyataan itu, Abdul Aziz dilaporkan berkata, beliau menyokong penuh gandingan Hishammuddin dan Khairy kerana yakin kemampuan mereka.
Desas-desus
Bagaimanapun, katanya, beliau menyokong Khairy bukan kerana beliau menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetapi kerana Khairy 'telah membuktikan kemampuannya menerajui jentera pergerakan itu dalam beberapa pilihanraya kecil, daya kepemimpinan serta kematangannya berpolitik".
Selain itu, katanya, Khairy yang baru berusia 28 tahun, sudah lama bersama Pemuda dan membuktikan kemampuannya.
Menurut Aziz lagi usianya yang masih muda juga membolehkan Khairy kekal beberapa penggal dalam Pemuda Umno.
Menurut sumber-sumber itu lagi, sejak beberapa hari ini sudah timbul desas-desus yang mengatakan Abdul Aziz berbuat demikian bagi pihak Hishammuddin untuk membantu Khairy dipilih sebagai naib ketua.
"Jika percakapan seumpama ini berterusan, ia akan menjejaskan bukan sahaja kredibiliti Khairy tetapi juga Datuk Hishammuddin sendiri.
"Saya tidak tahu sama ada desas-desus itu benar atau tidak...tetapi kalau ianya sudah bertiup, maka memang sukar hendak dihentikan....jadi berhati-hatilah membuat kenyataan, terutama berkaitan calon-calon yang bakal bertanding nanti," tambahnya.

