Sejarah politik Tengku Adnan berulang semula
Bagi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansur, sejarah politiknya akan berulang apabila beliau kembali bertanding bagi kerusi Majlis Tertinggi Umno (MT) dalam pemilihan Umno September ini.
Bagi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansur, sejarah politiknya akan berulang apabila beliau kembali bertanding bagi kerusi Majlis Tertinggi Umno (MT) dalam pemilihan Umno September ini.
Beliau terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum lalu dan memenangi kerusi Parlimen Putrajaya, tetapi tidak dilantik menganggotai Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Menurut sumber-sumber yang rapat dengan beliau, Tengku Adnan pasti akan bertanding bagi kerusi MT selaras dengan kedudukannya sebagai ketua perhubungan Umno Wilayah Persekutuan.
Sebelum pilihanraya umum lalu, Tengku Adnan telah melepaskan jawatannya sebagai setiausaha kerja Umno yang disandangnya sejak 23 Jun 1999.
Beliau digantikan Brig-Jen (Bersara) Datuk Husainay Hashim yang juga ketua panel proaktif pilihanraya di bawah unit penyelidikan dan perancangan strategi Umno.
Selain itu, beliau juga merupakan ketua penaja Umno bahagian Seputeh dan Putrajaya.
"Nampaknya, Tengku Adnan terpaksa bekerja keras sepertimana beliau mula-mula bertanding bagi kerusi Majlis Tertinggi dalam pemilihan Umno pada 1993," kata sumber-sumber itu kepada malaysiakini.
Pasukan wawasan
Sumber-sumber itu yang mendakwa turut berkempen untuk Tengku Adnan pada 1993, berkata, ketika itu wujud Pasukan Wawasan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggotai Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
"Ketika itu, Datuk Seri Anwar mahu mencabar Tun Ghafar Baba bagi jawatan timbalan presiden parti. Tun Ghafar menarik diri daripada mempertahankan jawatan tersebut apabila cuma mendapat 7 pencalonan daripada 165 bahagian Umno ketika itu," katanya.
Katanya, Tengku Adnan yang ketika itu merupakan seorang usahawan bumiputera yang berjaya, turut menawarkan dirinya untuk jawatan MT bagi membolehkannya berkhidmat kepada parti.
"Pada masa yang sama, beliau telah membeli akhbar Watan sebagai wadahnya untuk menyampaikan hasratnya untuk bertanding jawatan tersebut," tambah sumber-sumber itu.
Tengku Adnan berjaya memenangi salah satu kerusi MT dalam pemilihan parti 1993 tetapi gagal mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan parti berikutnya.
Bagaimanapun, pada tahun 1999, nama Tengku Adnan muncul semula apabila beliau dilantik sebagai setiausaha kerja Umno dan sejak itu, karier politik beliau meningkat secara mendadak apabila dilantik sebagai senator sebelum menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Menteri pada awal tahun 2001.
Tengku Adnan kemudiannya dilantik mengetuai Umno Wilayah Persekutuan dan pada tahun 2002 dilantik sebagai menteri penuh di di Jabatan Perdana Menteri.
Saman
Perkembangan jatuh-bangun Tengku Adnan sentiasa mendapat perhatian kerana beliau didakwa oleh penyokong Anwar turut terbabit dalam konspirasi politik untuk menjatuhkan bekas timbalan perdana menteri itu.
Pemimpin lain yang didakwa oleh penyokong Anwar terbabit dalam konspirasi itu ialah bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Aziz Shamsuddin dan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Megat Junid Megat Ayob, yang kini dilantik sebagai ketua penerangan Umno pusat.
Tengku Adnan juga telah menjadi sasaran hebat pemimpin pembangkang apabila mereka mendakwa beliau masih memiliki pegangan saham dalam syarikat Bukit Tinggi Resort yang mendapat lesen perjudian mesin slot.
Bagaimanapun, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menafikannya dan berkata kerajaan tidak pernah mengeluarkan lesen operasi kasino di Bukit Tinggi tetapi hanya lesen untuk operasi mesin slot di sebuah kelab di sana.
Tengku Adnan juga membuat kenyataan bahawa beliau telah menjual 60 juta sahamnya dalam syarikat berkenaan selepas dilantik sebagai timbalan menteri.
Bagaimanapun, sebelum pilihanraya umum yang lalu, sebuah syarikat pembinaan Ehsan Bina telah mengemukakan saman terhadap syarikat Sinaran Klasik yang dikaitkan dengan Tengku Adnan.
Syarikat berkenaan didakwa gagal menjelaskan RM943,717.87 sebagai bayaran bagi sebahagian daripada kerja pembinaan tiga blok bangunan hotel yang telah disiapkan di Kuala Lumpur.

