Perlantikan Datuk Radzi Sheikh Ahmad sebagai setiausaha agung Umno dan Barisan Nasional (BN) dianggap telah "menyelamatkan" kedudukan politiknya, khususnya di peringkat Umno negeri Perlis.

Setelah dua dekad tidak memegang sebarang jawatan tinggi dalam parti dan kerajaan, bekas ketua perhubungan Semangat 46 Perlis itu sebelum kembali ke pangkuan Umno, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas menang dalam pilihanraya umum yang lalu.

Walaupun selepas dilantik sebagai menteri, kedudukannya di Perlis tetap tidak kukuh kerana para penyokongnya dikatakan tidak sehaluan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga merupakan ketua perhubungan Umno Perlis.

Malah, sebelum pilihanraya umum yang lalu, ramai pihak yang percaya Radzi akan menjadi menteri besar Perlis yang baru, bagi menggantikan Shahidah yang dilaporkan akan dipindahkan ke pusat.

Bagaimanapun, spekulasi itu tidak menjadi kenyataan, sebaliknya Radzi diletakkan bertanding kerusi Parlimen Kangar dan menang dengan majoriti 12,548 undi. Manakala Shahidan kekal di kerusi negeri Tambun Tulang dan dilantik semula sebagai menteri besar.

Perkembangan itu dianggap oleh para penyokong Shahidan sebagai satu kemenangan politik bagi kumpulan Menteri Besar tersebut.

Bagaimanapun, pergeseran politik antara kedua-dua pihak tidak terhenti di situ, tetapi masih berterusan sehingga timbul spekulasi yang Radzi tidak berminat untuk mempertahankan jawatan ketua Umno Bahagian Kangar yang dimenangi tanpa bertanding pada tahun 2000.

Menurut sumber-sumber yang rapat dengan Umno, perlantikan Radzi sebagai setiausaha agung Umno dan BN semalam sudah pasti menggembirakan para penyokongnya khususnya di Perlis.

Peluang

"Malah, kemungkinan besar Radzi akan diminta mempertahankan jawatan ketua Umno bahagian Kangar, selaras dengan kedudukannya sebagai seorang menteri dan setiausaha agung Umno dan BN," katanya kepada malaysiakini .

Menurut sumber-sumber itu lagi, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, memang wujud desas-desus yang mengatakan pemangku presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan melantik Radzi setiausaha agung Umno bagi membantu mengukuhkan kedudukannya, khususnya di Perlis.

"Malah, ia boleh ditakrifkan sebagai langkah awal Abdullah untuk memberi peluang kepada Radzi untuk menguatkan pengaruhnya di Perlis sebelum kembali menjadi menteri besar dalam pilihanraya umum akan datang," tambahnya.

Abdullah mengumumkan perlantikan Radzi itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno dan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur malam tadi.

Perlantikan Radzi berkuatkuasa serta-merta menggantikan Tan Sri Khalil Yaakob, yang dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka yang baru, mulai Jumaat ini.

Anak bekas Menteri Besar Perlis, Allahyarham Tan Sri Sheikh Ahmad Mohd Hashim ini digugurkan daripada jawatan kerajaan pada 7 Mei, 1987 berikutan krisis dalaman Umno.

Pada tahun tersebut, telah berlaku pertandingan hebat antara Team A pimpinan presiden Umno ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menentang Team B, pimpinan Tunku Razaleigh Hamzah ketika itu naib presiden dan Menteri Kewangan.

Tengku Razaleigh bagaimanapun gagal menewaskan Dr Mahathir bagi merebut jawatan presiden Umno pada tahun berkenaan.

Ahli bebas

Radzi, 62, kemudiannya meninggalkan parti pada tahun 1988 serta mengisytiharkan dirinya sebagai ahli Bebas dalam Parlimen dan menyertai parti serpihan Umno Melayu Semangat 46. Tiga bulan kemudian, beliau menyertai semula Umno.

Antara kumpulan team B sekarang yang memegang hirarki kuasa termasuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Radzi, Datuk Kadir Sheikh Fadzir dan Datuk Shahrir Samad. Manakala Team A yang kekal hingga hari ini ialah Datuk Seri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Najib Tun Razak

Radzi, seorang peguam, menceburi politik pada 1973 dan bertanding kerusi Parlimen Kangar dalam pilihanraya umum 1982.

Berikutan itu, beliau dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian pada 29 April 1982, dan seminggu selepas itu, ditukarkan ke Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1983, dan menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri setahun kemudiannya.

Pada tahun 2000, Radzi kembali aktif semula dalam Umno dan dipilih tanpa bertanding sebagai Ketua Umno Bahagian Kangar sehingga sekarang.