Para penyokong naib ketua Pemuda Umno, Datuk Aziz Sheikh Fadzir tidak akan berdiam diri membiarkan beliau "tenggelam begitu sahaja" dalam arus politik perdana selepas Datuk Hishammuddin Hussein mahu terus memimpin pergerakan itu dalam pilihan parti September ini.

Sumber-sumber Umno berkata, mereka menyifatkan keengganan Hishammuddin bertanding jawatan naib presiden bakal 'membunuh' karier politik Aziz dalam Umno.

"Datuk Hishammuddin nampaknya mengambil jalan mudah dan mahu mengekalkan jawatannya, sedangkan Datuk Aziz sudah tidak boleh mempertahankan jawatannya kerana faktor umur," kata sumber-sumber yang rapat dengan pergerakan itu.

"Datuk Aziz boleh bertanding bagi kerusi Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk terus kekal dalam arus politik perdana...tetapi tiada jaminan yang beliau boleh menang.

"Lama kelamaan beliau akan dilupai. Lantaran itu, ada pihak yang berpendapat Aziz patut dicalonkan bertanding jawatan ketua Pemuda Umno Malaysia," katanya kepada malaysiakini .

Sumber-sumber itu berkata, berbanding dengan Hishammuddin, Aziz sebenarnya tidak mempunyai banyak pilihan dan karier politiknya umpama 'telur di hujung tanduk'.

Rakan seperjuangan

"Oleh itu, beliau perlu bertanding jawatan ketua Pemuda untuk meneruskan kesinambungan politiknya. Kalau tewaspun, sekurang-kurangnya beliau tewas di gelanggang dan orang akan ingat.

"Jika tidak, beliau akan dilupai begitu sahaja....sedangkan ketika memegang jawatan naib ketua sekarang pun, beliau seperti dianaktirikan dan nasibnya tidak sebaik rakan-rakan seperjuangannya yang lain dalam pergerakan itu," tambah sumber-sumber itu.

Menurutnya, walaupun Aziz terpilih bertanding dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil dalam pilihanraya umum lalu, tetapi tidak dilantik memegang jawatan dalam kerajaan walaupun beliau juga adalah Ketua Pemuda Umno Kedah.

"Sedangkan Datuk Azimi Daim yang memenangi DUN Bandar Baharu dilantik sebagai ahli Ecxo Kerajaan Negeri Kedah, sedangkan beliau hanya merupakan ketua penerangan pergerakan tersebut, dan hanya ketua pemuda Umno di bahagiannya di Bandar Baru/Kulim.

"Di peringkat pusat lagi, nasib Exco Pergerakan itu, Datuk Dr Adham Baba juga lebih baik daripada Aziz kerana dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi," katanya.

Katanya, dengan mengambilkira perkembangan politik yang diharungi Aziz selama ini, maka ramai yang mempercayai seolah-olah beliau telah 'dianaktirikan' oleh Hishammuddin.

Kempen

"Malah, telah timbul desas-desus bahawa Datuk Hishammuddin mahu mengekalkan jawatan ketua Pemuda Umno bagi menghalangkan karier politik Datuk Aziz," tambah sumber-sumber tersebut.

Beliau percaya, sekiranya Hishammuddin melepaskan jawatannya sekarang, Aziz merupakan orang yang paling layak memimpin pergerakan tersebut.

"Tunggulah...pasti ada Pemuda Umno bahagian yang akan mencalonkan Datuk Aziz bertanding merebut jawatan ketua pergerakan tersebut...biarlah sekali-sekali Datuk Hishammuddin melalui pengalaman berkempen untuk mempertahankan jawatannya," tambah sumber-sumber itu.

Hishammuddin dilantik tanpa bertanding memimpin pergerakan itu selepas ketuanya ketika itu Datuk Zahid Hamidi meletak jawatan berikutan krisis dalam Umno selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan dan Umno pada 1988.

Hishammuddin yang ketika itu merupakan naib ketua, kemudiannya dilantik memangku jawatan tersebut dan seterusnya dipilih tanpa bertanding dalam tahun 2000.