Pemuda Umno Perak merintis usaha untuk menggandingkan Datuk Hishammuddin Hussein dengan menantu perdana menteri, Khairy Jamaluddin untuk dua jawatan tertinggi pergerakan tersebut dalam pemilihan parti September ini.

Menurut sumber, ini berikutan langkah Pemuda Umno Perak mengumumkan pencalonan Khairy ( kiri ) untuk jawatan naib ketua pergerakan itu, pada hari yang sama Hishammuddin mengumumkan untuk mempertahan jawatan ketua Pemuda yang disandangnya sekarang.

"Jelas ada mesej yang hendak disampaikan kepada ahli-ahli Pemuda Umno, iaitu gandingkan Datuk Hishammuddin dengan Khairy untuk menerajui pergerakan tersebut," katanya kepada malaysiakini .

Katanya, ia juga selaras dengan pengumuman Hishammuddin semalam yang beliau akan memimpin pergerakan itu sepenggal sahaja lagi dan pada masa yang sama, akan melatih penggantinya.

"Berikutan pencalonan Khairy untuk jawatan naib, maka Khairylah yang bakal menerajui Pemuda Umno selepas Datuk Hishammuddin.

Hishammuddin mengumumkan keputusannya untuk mempertahan jawatan ketua Pemuda selepas merasmikan persidangan berkelompok cawangan-cawangan Wanita, Pemuda dan Wanita Umno dalam bahagian Sembrong di Kluang semalam.

Berkualiti

Manakala Ketua Pemuda Umno Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir pula mengumumkan di Lumut juga semalam, mengenai sokongan untuk Hishammuddin mempertahankan jawatan Ketua Pemuda manakala Khairy akan dicalonkan untuk jawatan naib ketua.

Menurut Dr Zambry, Pemuda Umno Perak merasakan kedua-dua mereka adalah gandingan yang mantap untuk meneruskan kesinambungan perjuangan Pemuda Umno yang ada sekarang supaya menjadi lebih mantap, berketerampilan dan berkualiti.

Menurut sumber-sumber itu lagi, langkah tersebut juga akan turut membantu mengalih tumpuan ahli-ahli pergerakan itu daripada keputusan Hishammuddin yang tidak mahu bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti kali ini.

"Dengan menggandingkan Khairy yang juga exco pergerakan itu, dengan Datuk Hishamuddin, sudah tentu perhatian kini akan tertumpu kepada peluang Khairy memenangi jawatan tersebut," katanya.

Beliau percaya, gandingan Hishammuddin-Khairy akan 'memalapkan' harapan ketua penerangan pergerakan itu, Datuk Azimi Daim untuk merebut jawatan naib ketua, yang dilepaskan oleh Datuk Aziz Sheikh Kadir kerana faktor umur.

Sebelum ini timbul spekulasi mengenai kemungkinan Hishammuddin bertanding jawatan naib presiden dan Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Mohd Khir Toyo akan menggantikannya menerajui pergerakan tersebut.

Ditanya mengenai kenyataan Khairy sebelum ini yang beliau tidak berminat untuk bertanding sebarang jawatan dalam Pemuda Umno, sumber-sumber itu berkata: "Jika majoriti Pemuda Umno bahagian sudah mencalonkankannya untuk jawatan naib ketua Pemuda, takkan beliau mahu menolaknya pula."