Khairy kini serba-salah
Keghairahan beberapa Umno negeri untuk mencalonkan Khairy Jamaluddin untuk jawatan naib ketua Pemuda Umno dikatakan telah meletakkan menantu perdana menteri itu dalam keadaan serba-salah.
Keghairahan beberapa Umno negeri untuk mencalonkan Khairy Jamaluddin untuk jawatan naib ketua Pemuda Umno dikatakan telah meletakkan menantu perdana menteri itu dalam keadaan serba-salah.
"Selepas didakwa 'campurtangan' dalam pemilihan calon Umno bagi pilihanraya umum lalu, Khairy mungkin dituduh pula'menutup' peluang pemimpin kanan dalam Pemuda Umno jika dia bersetuju bertanding jawatan tersebut," kata sumber-sumber pergerakan tersebut.
Lagi pula, katanya, Khairy yang juga exco Pemuda Umno telah "memerangkap" dirinya sendiri apabila beliau memberitahu sebuah akhbar tempatan yang beliau tidak berminat bertanding sebarang jawatan dalam Umno.
"Bagi sesetengah pihak, kenyataan Khairy itu boleh dianggap memperlihatkan yang beliau masih belum matang berpolitik. Mana boleh kita membuat sesuatu keputusan dengan menurut perasaan...," katanya.
Difahamkan, Khairy membuat kenyataan tersebut selepas dipercayai kecewa kerana tidak dapat bertanding dalam pilihanraya umum akan datang kerana kedudukannya sebagai menentu pemangku presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Selepas sebuah akhbar pimpinan teman karib Khairy menulis rencana yang memperlihatkan seolah-olah keadaan Khairy begitu tertekan dan peluang untuknya meningkatkan dalam kerajaan dan parti telah tertutup semata-mata kerana dia adalah menantu perdana menteri," katanya.
Sokongan akar umbi
Tulisan itu disiarkan selepas tersebarkan berita mengenai kemungkinan Khairy dilantik menerajui syarikat terbesar kerajaan, Khazanah Nasional yang akan mengalami rombakan pengurusannya.
Berikutan tersiarnya berita tersebut, perdana menteri sendiri terpaksa menafikan bahawa menantunya itu akan dilantik menerajui syarikat tersebut.
"Nasib Khairy akan terus dirundung malang seandainya beliau mengawal tindak-tanduk rakan-rakannya di dalam Pemuda Umno dan juga media perdana tempatan, daripada melakukan sesuatu yang pada mereka baik untuk Khairy tetapi memberi kesan sebaliknya," kata sumber-sumber itu.
Katanya, walaupun Pemuda Umno Perak menyatakan sokongannya kepada Khairy untuk bertanding jawatan naib ketua, tetapi hari ini sudah timbul desas-desus yang mengatakan ia tidak melambangkan kehendak ahli di peringkat akar umbi.
"Ini satu lagi perkara yang harus dipertimbangkan oleh Khairy. Apabila ketua Pemuda Umno negeri menyatakan sokongan kepadanya, ia tidak bererti sokongan itu menyeluruh.
"Kemungkinan ianya dibuat semata-mata atas dasar simpati terhadap nasib Khairy tetapi ia bukan kehendak sebenar ahli-ahli pergerakan itu di peringkat akar umbi," tambahnya.

