Umno amalkan demokrasi atau demokrasi terpimpin?
Beberapa pihak dalam Umno mendakwa kenyataan segelintir pemimpin tertinggi parti itu mengenai siapakah yang patut dipilih sebagai ketua bahagian adalah antara penyebab berlakunya kekecohan sepanjang mesyuarat cawangan sekarang.
Beberapa pihak dalam Umno mendakwa kenyataan segelintir pemimpin tertinggi parti itu mengenai siapakah yang patut dipilih sebagai ketua bahagian adalah antara penyebab berlakunya kekecohan sepanjang mesyuarat cawangan sekarang.
Malaysiakini
diberitahu bahawa kekeliruan itu timbul apabila ada menteri besar, selaku pengerusi Umno negeri, memberi pandangan yang berbeza mengenai siapakah yang sepatutnya memegang jawatan berkenaan.
Sebelum ini Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zin telah
mencadangkan
supaya ketua bahagian di pilih dari kalangan bukan wakil rakyat.
Pada pandangan beliau, langkah tersebut akan memastikan ketua bahagian dapat menumpu sepenuh masa untuk kerja menguatkan parti.
Bagaimanapun, Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali pula
menyarankan
supaya ketua bahagian, khususnya di Perak, dipilih di kalangan wakil rakyat.
Menurutnya, memandangkan mereka dipilih oleh majoriti rakyat, maka sepatutnya mereka turut menjadi ketua bahagian.
Sumber-sumber yang rapat dengan Umno berkata, walaupun Syed Razak dan Tajol Rosli membuat saranan itu bagi negeri masing-masing, tetapi kesannya turut tempias ke negeri-negeri lain juga.
"Ini kerana, selaku Ahli Majlis Tertinggi, mereka juga merupakan pemimpin Umno peringkat pusat, dan apa juga pandangan mereka, turut membawa kesan yang menyeluruh," katanya.
Menurutnya, ini diikuti pula dengan ulasan-ulasan daripada beberapa pemimpin Umno yang lain sama ada bersetuju atau menolak cadangan tersebut.
Masalah
Sumber-sumber itu percaya kenyataan seumpama itu menjadi punca wujudkan 'gangguan' dalam mesyuarat cawangan sekarang di mana di beberapa buah negeri, ada ahli-ahli yang tidak diberitahu mengenai mesyuarat yang diadakan itu.
Malah, katanya, ada juga yang mendakwa samseng-samseng digunakan untuk memastikan pemimpin tertentu terpilih memegang jawatan di peringkat cawangan.
Setakat ini, katanya, masalah tersebut dilaporkan berlaku di beberapa cawangan di Kelantan, Kedah dan Perak.
Menurut sumber-sumber itu lagi, ada yang pihak yang berpendapat bahawa pandangan kedua-dua menteri besar itu menunjukkan wujudnya unsur-unsur ke arah melaksanakan sistem demokrasi terpimpin.
"Jadi, walaupu pemimpin kita bercakap tentang demokrasi, tetapi apa yang sebenarnya mereka mahu ialah penentuan dibuat oleh pemimpin atasan atau dalam lain perkataan - demokrasi terpimpin," tambah sumber-sumber itu.
Katanya beliau sudah lama berkecimpung dalam politik Umno tetapi sejak peralihan kuasa tahun lalu, kelihatan seperti ada unsur-unsur'ketidaktentuan' dalam sistem kepimpinan parti berkenaan.
"Yang jelas, seolah-olah sesiapa sahaja boleh membuat kenyataan terbuka walaupun ianya menyentuh dasar-dasar parti. Ada menteri besar membuat kenyataan yang bercanggah antara satu sama lain.
"Pada satu ketika, pemimpin kita bercakap mengenai pentingnya Umno mengekalkan sistem demokrasi dalam pemilihan parti. Saya bersetuju jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan," tambahnya.
Tetapi, tambah sumber-sumber itu, jangan pula jawatan-jawatan lain seperti ketua pemuda, naib ketua pemuda, malahan jawatan ketua bahagian pun hendak ditentukan sebelum pemilihan diadakan.

