Azimi tarik diri kerana bimbang kedudukan terjejas?
Beberapa pemimpin Pemuda Umno di peringkat akar umbi bimbang usaha untuk berkompromi bagi mengelak sebarang perebutan bagi jawatan tertinggi dalam pergerakan tersebut boleh mengakibatkan wujudnya ahli-ahli yang hanya menjadi 'pak turut'.
Beberapa pemimpin Pemuda Umno di peringkat akar umbi bimbang usaha untuk berkompromi bagi mengelak sebarang perebutan bagi jawatan tertinggi dalam pergerakan tersebut boleh mengakibatkan wujudnya ahli-ahli yang hanya menjadi 'pak turut'.
"Apa salahnya jika sekurang-kurang jawatan naib Ketua Pemuda dipertandingkan...kalah menang memang adat pertandingan, dan hanya calon yang terbaik akan menang," kata seorang pemimpin Pemuda Umno bahagian kepada malaysiakini .
Oleh itu, katanya, tidak timbul soal pencalonan untuk jawatan naib ketua hanya terhadap kepada exco pergerakan itu, Khairy Jamaluddin yang juga menantu perdana menteri.
"Kalau Datuk Hishammuddin Hussein mahu kekal lagi sepenggal, kita sokong dia, tetapi saya tidak suka usaha sesetengah pihak untuk mencari kompromi agar jawatan naib ketua pun tidak dipertandingkan," tambahnya.
Manakala seorang lagi pemimpin Pemuda bahagian menegur ketua penerangan Pemuda Umno Datuk Azimi Daim dan beberapa exco pergerakan itu yang menyatakan kesediaan mereka untuk tidak bertanding jika Khairy dicalonkan untuk jawatan tersebut.
"Mereka mesti ingat bahawa hak untuk memilih pemimpin pergerakan ini terletak kepada bahagian-bahagian. Jika bahagian mahu mencalonkan mereka untuk bertanding jawatan tersebut, mereka tidak boleh suka-suka hati menarik diri.
"Jika tidak, nanti semua orang ingatkan mereka ini pemimpin main-main...lagi pula ia akan memberi gambaran yang kurang baik terhadap Khairy sendiri...kerana dia menantu perdana menteri...jadi mereka menarik diri," tambahnya.
Kehendak akar umbi
Menurutnya, pandangannya itu juga turut dikongsi oleh sebahagian pemimpin Pemuda Umno di peringkat akar umbi yang merasa seolah-olah soal pemilihan pemimpin dalam pergerakan itu hanya menjadi tanggungjawab pucuk pimpinannya sahaja.
Malah, katanya, ada pihak yang akan beranggapan bahawa Azimi (
gambar
) menarik diri kerana takut kedudukannya sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Exco Negeri Kedah akan terjejas.
"Saya diberitahu oleh beberapa penyokong Azimi yang mereka kecewa dengan kenyataan beliau yang bersedia menarik diri jika Khairy bertanding jawatan tersebut. Setidak-tidaknya pun beliau sepatutnya menyerahkannya kepada bahagian-bahagian.
"Kali ini kami mahu melihat pertandingan sekurang-kurangnya untuk merebut jawatan naib ketua Pemuda, supaya pemilihannya nanti mencerminkan kehendak ahli-ahli di peringkat akar umbi," tambahnya.
Sebelum ini, pergerakan Pemuda Umno Perak dan Kelantan sudah menyatakan sokongan terbuka mereka kepada gandingan Hishammuddin-Khairy dalam pemilihan parti akan datang.
Berikutan itu, timbul desas-desus yang mengatakan kenyataan Ketua Pemuda Umno Perak Datuk Zambry Abdul Kadir menyokong Khairy itu, lebih merupakan keputusan pucuk pimpinan Pemuda negeri, dan tidak mencerminkan kehendak akar umbi.
"Itulah yang ingin saya katakan...biarlah Khairy bertanding atas kapasitinya sebagai exco pemuda...dan exco-exco pemuda yang lain pun, jika dicalonkan oleh bahagian-bahagian sepatutnya menyahut cabaran tersebut.
"Apa yang kita tidak mahu, Datuk Hishammuddin selalu mengulangi bahawa ahli-ahli yang berkelayakan boleh bertanding apa-apa jawatan...tetapi pada masa yang sama, ada pihak yang cuba mencari kompromi supaya jawatan tertentu tidak dipertanding...ahli-ahli akan menjadi keliru...," tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.