Kepimpinan Umno Kelantan kini mengikuti dengan teliti kemungkinan bekas ketua-ketua Pemuda Umno mencabar ketua-ketua penaja di bahagian mereka bagi merebut jawatan tersebut dalam mesyuarat bahagian bulan depan.

"Kita memandang berat perkara tersebut ... setakat ini kita menjangka beberapa bahagian tidak bermasalah, tetapi perebutan itu mungkin berlaku di sembilan atau sepuluh bahagian di negeri ini," kata sumber-sumber Umno Kelantan kepada malaysiakini .

Menurutnya, bekas ketua Pemuda Umno bahagian yang sama, tetapi terpaksa melepaskan jawatan masing-masing kerana melebihi umur 40 tahun, adalah antara mereka yang dijangka mencabar kedudukan ketua penaja sedia ada.

Sumber-sumber itu bagaimanapun enggan menyatakan nama-nama bahagian terbabit. Pada masa ini terdapat 14 bahagian Umno di Kelantan.

Setakat ini, bahagian Jeli pimpinan pengerusi Umno negeri, Datuk Mustapa Mohamad dan Bahagian Gua Musang yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah, dijangka tidak menghadapi sebarang masalah.

Mesyuarat Umno cawangan sedang berlangsung mulai 1 Jun lalu dan akan berakhir hujung bulan ini. Manakala mesyuarat Umno bahagian selama dua minggu akan bermulai pada 8 Julai depan.

Salah satu kawasan yang dijangka menyaksikan pertandingan hangat ialah bahagian Umno Kota Bharu yang kini diketuai oleh timbalan pengerusi Umno Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim.

Prestasi menggalakkan

Beliau dijangka ditentang oleh bekas ketua bahagian berkenaan, yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Rastum.

Minggu lepas, sekumpulan ahli Umno dari bahagian Kuala Krai telah mengemukakan memorandum bantahan kepada Mustapa kerana tidak berpuashati dengan perjalanan mesyuarat cawangan di bahagian tersebut.

Sumber-sumber tersebut tidak menolak kemungkinan keghairahan untuk bertanding itu mungkin didorongkan oleh prestasi Umno yang menggalakkan Umno dalam pilihanraya umum yang baru lalu.

Dalam pilihanraya tersebut, Umno pimpinan Mustapa telah berjaya memenangi 21 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan daripada 14 kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, PAS yang memenangi 24 kerusi DUN kekal memerintah Kelantan dengan majoriti mudah. Parti itu juga memenangi enam kerusi Parlimen.

"Mungkin mereka menganggap masa depan Umno sudah pulih berlandaskan kepada keputusan pilihanraya lalu. Siapa tahu Umno akan kembali berkuasa dalam pilihanraya umum akan datang," tambahnya.