Akar umbi tolak wakil rakyat terajui bahagian
Ahli-ahli akar umbi Umno, khususnya di Johor, kini memperlihatkan kecenderungan mereka untuk memilih pemimpin dari kalangan bukan wakil rakyat atau anggota kabinet untuk menerajui bahagian masing-masing.
Ahli-ahli akar umbi Umno, khususnya di Johor, kini memperlihatkan kecenderungan mereka untuk memilih pemimpin dari kalangan bukan wakil rakyat atau anggota kabinet untuk menerajui bahagian masing-masing.
Sumber-sumber Umno memberitahu malaysiakini , keadaan itu jelas menunjukkan ahli akar umbi mahu jawatan ketua bahagian dan wakil rakyat disandang oleh individu berlainan.
"Ternyata mereka kini menggunakan sistem demokrasi yang diamalkan selama ini dalam Umno untuk menrealisasikan hasrat mereka itu. Sehingga ini banyak kalangan bukan wakil rakyat dicalonkan untuk bertanding jawatan tertinggi peringkat bahagian," katanya.
Ini termasuklah di Umno bahagian Penggerang di mana Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said yang akan mempertahankan jawatan naib ketua bahagian, bakal menghadapi dua cabaran.
Selepas 21 daripada 33 cawangan selesai bermesyuarat, Azalina menerima 14 pencalonan, manakala dua pencabarnya, ahli perniagaan Syed Sies Syed Abdul Rahman mendapat tiga pencalonan manakala Abdul Kadir Basok mendapat empat pencalonan.
Berdasarkan peraturan setiap ahli yang menawarkan diri perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 10 peratus pencalonan daripada jumlah cawangan di bahagian masing-masing. Ini bermakna, Syed Sies dan Abdul Kadir layak bertanding.
Di Pulai pula, ketua penajanya Datuk Nur Jazlan Mohamed (
gambar
) akan dicabar oleh ketua penerangan bahagian, Yaacob Atan pada mesyuarat Umno bahagian itu pada 17 Julai ini.
Dicabar
Yaacob yang merupakan peguam dan bekas majistret, mendapat 17 pencalonan berbanding 44 pencalonan bagi Nur Jazlan selepas 61 daripada 82 cawangan selesai bersidang.
Yaacob, 51, yang kini mengendalikan syarikat guamannya sendiri, berasal dan menetap di kawasan itu dan diharap mudah membantu menyelesaikan pelbagai masalah orang Melayu di situ.
Nur Jazlan, yang merupakan anak bekas setiausaha agung Umno dan Barisan Nasional Tan Sri Mohamed Rahmat adalah Ahli Parlimen Pulai. Beliau dilantik ketua penaja tahun lalu, menggantikan bapanya yang memimpin bahagian berkenaan selama 12 penggal.
Di Kota Tinggi, Menteri Luar yang juga ketua penaja bahagian itu, Datuk Seri Syed Hamid Albar dijangka akan ditentang dalam pemilihan peringkat bahagian berkenaan bulan depan.
Pencabarnya ialah ketua Pemuda bahagian berkenaan, Rosleli Jahari. Selepas 26 daripada 44 cawangan bermesyuarat, 14 daripadanya mencalonkan Syed Hamid manakala 12 cawangan lagi mencalonkan Rosleli.
Sebanyak 18 cawangan lagi di bahagian berkenaan akan mengadakan mesyuarat masing-masing sehingga penghujung bulan ini
Syed Hamid yang sudah mengumumkan akan bertanding jawatan Naib Presiden, tidak pernah ditentang bagi jawatan itu sebelum ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.