Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penulis lirik tawar bantuan untuk lagu merdeka baru
Diterbitkan:  Aug 4, 2012 12:37 PM
Dikemaskini: 4:57 AM

Penulis lirik terkenal Buddhi Hekayat hari ini menawarkan diri untuk membantu kerajaan menggubah lagu dan lirik bertemakan kemerdekaan yang baru setelah lagu sedia ada "Janji Ditepati" dipertikaikan.

Malah, Buddhi Hekayat atau nama sebenarnya Hasmi Hashim bersedia terlibat dengan usaha itu walaupun tidak diberikan sebarang bayaran.

"Hendaknya niat ini tidaklah dipandang remeh dan serong oleh pihak menteri apabila beliau sendiri menyebutkan bahawa persoalan negara harus melampaui kepentingan mana-mana politik kepartian apatah lagi sekadar dasar kerajaan sekalipun," katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Buddhi Hekayat menegaskan keperluan mempunyai lagu kebangsaan dan kemerdekaan sendiri dan tulen, seperti dituntut generasi Malaysia hari ini.

"Kemelut berkaitan lagu berkenaan itu sama sekali tak pula membayangkan bahawa Malaysia kekurangan bakat dalam bidang muzik," kata penulis lirik yang terkenal dengan lagu "Awan Nano" nyanyian Hafiz AF.

"Saya percaya, di kalangan anak-anak bangsa kita, ramai sekali yang mempunyai bakat kemampuan untuk sama-sama menggubah lagu yang mengandungi semangat dan roh kemerdekaan tanah air tercinta ini."

Kritikan masyarakat ada asas

Sementara itu, menyentuh langkah kerajaan untuk menyiasat Janji Ditepati yang didakwa diciplak daripada lagu gereja Indonesia, Buddhi Hekayat berkata, beliau percaya rata-raya rakyat Malaysia menyambut baik.

"Selepas saya sendiri mendengar lagu dan meneliti liriknya, perlu diakui bahawa kritikan masyarakat, khususnya masyarakat di ruang siber memang berasas.

"Belum pernah dalam sejarah Malaysia, perlunya sebuah panel penyiasat diwujudkan hanya untuk menyiasat sebuah lagu," kata pemenang Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Planet Muzik (APM) Singapura itu.

Beliau bagaimanapun menolak kenyataan komposer Jasnie Mohd Yaakub yang mendakwa Janji Ditepati belum dimuktamadkan.

"Selepas mendapat kritikan hebat, adalah aneh dan tidak munasabah bagi lagu "Janji Ditepati" yang sudah diperdengarkan-juga sepertimana logo kemerdekaan tahun ini-dikatakan masih tak muktamad dan tetap berada dalam proses penyediaan.

"Jawapan ini terdengar sebagai jawapan politik semata-mata," katanya yang juga aktivis parti pembangkang.

ADS