Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Aziz juga mahu muncul di TV RTM
Diterbitkan:  Jan 2, 2013 12:41 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menuntut agar turut diberikan peluang untuk tampil di kaca televisyen untuk memberi penjelasan mengenai perjuangan parti tersebut.

Kenyataannya itu timbul susulan kesediaan yang dinyatakan kerajaan untuk menampilkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang di televisyen untuk menjelaskan satu "amanat" presiden PAS itu.

Laporan akhbar Sinar Harian hari ini menyebut, Nik Aziz berkata pelbagai pihak beliau bersedia untuk bercakap dalam siaran televisyen tersebut pada bila-bila masa memandangkan perjuangan PAS selama ini, menurutnya, disalah ertikan pelbagai pihak.

"Kita sebagai umat Nabi Muhammad wajib menyebarkan kebenaran kepada setiap umat di dunia tidak kira Islam atau sebaliknya.

"Jadi sebagai negara demokrasi kerajaan perlu beri peluang kepada PAS untuk memberi penjelasan kepada rakyat," kata seperti dipetik akhbar itu.

Nik Aziz turut menyokong kesediaan Abdul Hadi untuk menjelaskan satu ucapan pada 1981, yang kini kembali meraih kontroversi, dan berkata ia harus dipancarkan secara langsung seperti diminta oleh presiden PAS itu.

Abdul Hadi dalam satu ceramah di Kuala Terengganu pada 7 April 1981 menggelarkan Umno sebagai parti "kafir" dan perkara itu disebarkan secara meluas oleh PAS pada tahun 1980-an dalam bentuk poster.

Isu itu kembali ditimbulkan pemimpin Umno dan media pro-Umno yang menuntut Abdul Hadi menarik balik kenyataan yang didakwa memecahbelahkan masyarakat Islam.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim sebelum ini berkata, Abdul Hadi boleh menjelaskan isu tersebut di stesen RTM milik kerajaan jika kandungan itu sesuai.

Program itu mesti dibuat secara rakaman dan turut disertai tokoh agama dan mufti negeri, katanya.

[Berita penuh menyusul]

ADS