Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan tak jadi siar penjelasan 'amanat Hadi'
Diterbitkan:  Jan 3, 2013 1:55 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Kementerian penerangan, komunikasi dan kebudayaan membatalkan rancangan untuk menyiarkan penjelasan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung satu ucapan kontroversi presiden PAS itu yang dibuat pada 1981.

NONE Menurut laporan Utusan Malaysia , menterinya Datuk Seri Rais Yatim berkata penyiaran amanat Hadi itu akan bercanggah dengan satu fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 24 Julai 2002.

Rais berkata, amanat yang diucapkan Hadi di Kampung Banggol Peradong, Terengganu pada 7 April 1981 itu bercanggah dengan ajaran Islam.

"Sehubungan itu, kementerian dan RTM khususnya adalah terikat dengan fatwa yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Kesimpulannya, forum berkenaan tidak dapat diadakan kecuali jika Abdul Hadi bersedia menarik balik amanatnya," katanya seperti dipetik akhbar milik Umno itu.

Menurut laporan itu lagi, Rais menjelaskan bahawa Majlis Fatwa mendapati amanat tersebut bercanggah dengan kepentingan masyarakat Islam, kemuliaan agama dan prinsip dakwah Islamiah.

NONE Rais juga berkata, fatwa tersebut melarang orang Islam daripada menyebar, mengajar, mempelajari dan mengamalkan amanat berkenaan.

Selain itu, fatwa berkenaan menggariskan larangan ke atas perbuatan menjual, mencetak, mengedar, membeli atau memiliki amanat berkenaan, kata Rais lagi.

Isu berhubung fatwa berkenaan dibangkitkan dibangkitkan semula oleh pemimpin Umno dan media pro-parti berkenaan bagi menuntut Abdul Hadi supaya menarik balik amanat yang didakwa memecah-belahkan masyarakat Islam.

Rais sebelum ini menyatakan kesediaan kerajaan untuk memenuhi permintaan Abdul Hadi untuk menjelaskan amanat tersebut melalui siaran RTM, sekiranya kandungan itu "sesuai".

Bagaimanapun, beliau menetapkan supaya Abdul Hadi memohon terlebih dahulu kepada RTM dan agar tokoh agama dan para mufti turut ditampilkan dalam program tersebut.

ADS