Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1 Feb tarikh akhir buka bilik gerakan pusat daerah mengundi BN

Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional(BN) di seluruh negara mesti dibuka selewat-lewatnya 1 Februari ini.

    

Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN Datuk Ahmad Maslan berkata arahan itu dikeluarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap pengerusi BN sebagai persiapan menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

"Ini bermakna semua bahagian seluruh negara mempunyai masa lebih kurang dua minggu bagi mempersiapkan PDM masing-masing sama ada urusan menyewa atau mengenal pasti bangunan atau lokasi PDM di bahagian masing-masing," katanya kepada pemberita selepas majlis Tinjauan Mesra Penerangan ke PDM Parlimen Ampang dan Pandan di ibunegara hari ini.

    

Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno juga mengingatkan setiap PDM perlu dilengkapi bendera Umno dan BN serta maklumat pengundi selain dipenuhi dengan aktiviti harian.

    

"Saya dah tulis surat pada semua bahagian agar dijalankan aktiviti seperti yang telah ditetapkan iaitu Setiap Hari Ada Program Di PDM (SHADPDM) mengikut kaedah yang telah mula dijalankan di beberapa bilik gerakan mulai tahun lepas," katanya.

    

Katanya ini bermakna akan terdapat 7,531 PDM di seluruh negara manakala terdapat beberapa Umno Bahagian di beberapa negeri telahpun membuka PDM masing-masing.

    

Dalam perkembangan lain, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana

Menteri mengingatkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya mengambil iktibar daripada krisis bekalan air yang melanda Lembah Klang baru-baru ini.

    

Beliau berkata, kesengsaraan setengah juta penduduk susulan kegagalan sistem pam di rumah pam Wangsa Maju dan kerosakan pada papan suis utama Pudu Hulu sejak 29 Disember lalu tidak perlu dipolitikkan.

    

"Berhenti menyalahkan pihak lain sebaliknya luluskan projek Loji Air Langat 2 agar kepentingan rakyat dapat didahulukan," katanya.

    

Terdahulu, Ahmad menyampaikan bantuan barangan keperluan Kedai Rakyat 1Malaysia kepada 150 penerima terdiri Orang Kurang Upaya, ibu tunggal dan keluarga kurang mampu di kawasan Parlimen Ampang dan Pandan.

    

- Bernama

ADS