Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes saman Badan Peguam mungkin selesai luar mahkamah

Kes saman yang dikemukakan seorang peguam terhadap Badan Peguam Malaysia dan Majlis Peguam berhubung mesyuarat agung luar biasa (EGM) berkemungkinan diselesaikan di luar mahkamah.

Peguam Shaharudin Ali yang mewakili Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata Badan Peguam Malaysia dan Majlis Peguam mengemukakan cadangan untuk penyelesaian hari ini ketika kes didengar di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'Hara.

Shaharudin berkata kesemua pihak bersepakat untuk berbincang bagi menyelesaikan saman tersebut dan perlu memberitahu mahkamah hasil perbincangan pada 4 Februari ini.

Beliau berkata sekiranya tiada penyelesaian dicapai, mahkamah akan menetapkan perbicaraan penuh.

Pada 16 Mei tahun lalu, Mohd Khairul Azam memfailkan saman dengan menamakan Badan Peguam Malaysia dan Majlis Peguam sebagai defendan untuk menuntut satu perisytiharan supaya diputuskan notis bertarikh 4 Mei untuk memanggil EGM itu sebagai tidak sah dan tidak selaras dengan Akta Profesion Guaman 1976.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Khairul Azam, yang menganggotai Badan Peguam Malaysia dan juga Majlis Peguam, mendakwa notis memanggil EGM itu dikeluarkan kurang daripada tujuh hari sebelum 11 Mei, selain menyatakan bahawa anggota majlis tersebut tidak dimaklumkan dengan sewajarnya.

Mohd Khairul Azam yang ditemui pemberita turut memberitahu bahawa beliau dimaklumkan bahawa kedua-dua defendan berhasrat membuat penyelesaian sebelum mesyuarat agung tahunan (AGM) Majlis Peguam pada 16 Mac ini.

Sementara itu di luar perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta hari ini, kira-kira seratus orang mewakili 25 badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun sebagai sokongan terhadap Mohd Khairul Azam.

Kebanyakkan mereka memakai baju bewarna merah dan melaungkan 'Ubah Majlis Peguam' dan 'Bersihkan Majlis Peguam' sambil memegang sepanduk.

Perhimpunan selama sejam setengah bermula 9 pagi itu akhirnya selesai apabila pegawai penjaga mahkamah ACP R Munusamy membawa beberapa wakil NGO tersebut berjumpa wakil mahkamah iaitu Pengarah Kompleks Mahkamah Jalan Duta Al-Baishah Abd Manan untuk menyerahkan memorandum.

-Bernama

ADS