Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'BN akan perjelas isu semasa pada pengundi atas pagar'

Barisan Nasional (BN) akan menggunakan masa yang ada sebelum pilihan raya umum akan datang untuk menghuraikan dan menjelaskan kepada pengundi atas pagar mengenai isu-isu semasa bagi mengelakkan mereka terkeliru dengan dakyah pembangkang.

Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dengan kemelut politik di kalangan pakatan pembangkang dan isu-isu pembohongan dilakukan pembangkang, ramai pengundi atas pagar keliru sehingga tidak tahu hendak memihak kepada parti mana.

Beliau berkata ini biasa berlaku sama ada dalam pilihan raya kecil atau pilihan raya umum apabila terdapat sekumpulan pengundi yang tidak mahu nyatakan pendirian atau belum buat keputusan memihak kepada parti mana.

"Ini diistilahkan dalam politik sebagai pengundi atas pagar...apabila masa mengundi mereka akan memilih A atau B atau mana-mana parti.

"Dengan situasi kemelut politik yang berlaku di kalangan pembangkang dan isu pembohongan yang dilakukan, pengundi akan keliru," katanya kepada pemberita selepas Program MyAid Kelab Umno Luar Negara Pagoh 2012 di Dewan Sekolah Panjang Sari di Muar hari ini yang turut dihadiri isterinya Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri berkata demikian sebagai mengulas mengenai kajian dilakukan Pusat Kajian Demokrasi Dalam Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCDEL) berkenaan isu pengundi atas pagar.

Katanya, dengan kewujudan media sosial yang memuatkan perkara negatif juga menyebabkan wujud perasaan keliru dan sehubungan itu BN akan mengatasi perkara itu dengan melakukan penjelasan.

"Ini kerana satu pihak akan kata begini, satu pihak lain akan kata begini.

"Ramai yang akan tidak faham mungkin kerana tidak cukup pengetahuan dan mudah terpengaruh sebab itu dalam tempoh berapa bulan kebelakangan ini BN akan cuba berikan penerangan dan penjelasan kepada mereka," katanya.

Muhyiddin memberikan contoh percangggahan pendapat yang ketara di kalangan pembangkang ialah dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.

"Seorang pemimpin (pembangkang) kata sesuatu manakala pemimpin Kelantan, Kedah dan Selangor pula adakan bantahan secara terbuka. Mereka tidak menerima atau tidak bersedia untuk mengikut keputusan.

"Dalam soal berkerajaan hal ini suatu yang bahaya kerana apabila nak buat sesuatu keputusan ia akan menimbulkan krisis dan kesan pada pelaksanaan dasar dan program yang nak mereka laksanakan," katanya.

Namun, timbalan perdana menteri berkata kejadian yang berlaku itu ada hikmah tersendiri kerana jelas dapat memperlihatkan kepada rakyat walaupun pembangkang duduk di atas pentas yang sama namun berbeza pendapat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semasa berucap sempena sambutan Krismas lepas, menggesa kerajaan persekutuan membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.

Kenyataan itu mendapat bantahan pelbagai pihak, namun pemimpin parti sekutu DAP termasuk Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyetujuinya.

Bagaimanapun susulan keputusan Majlis Syura Ulama PAS pada 13 Jan lepas, Nik Aziz mengubah pandangan yang bukan sahaja tidak bersetuju dengan Lim, tetapi juga menegaskan kalimah Allah hanya merujuk Tuhan Yang Satu dan perbuatan menggunakannya untuk agama lain adalah mengarut.

-Bernama

ADS