Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar hari ini mengeluarkan surat tawaran kepada 114 keluarga di Kampung Railway, Sentul bagi memudahkan mereka berpindah sementara sebelum mendiami semula kawasan itu tiga tahun lagi.

    

Timbalan Menterinya Datuk M Saravanan berkata surat tawaran itu bagi memastikan kesemua penduduk berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri dan Bukit Jalil bagi memberi laluan kepada projek pembangunan di kawasan tersebut.

    

Pembangunan termasuk pembinaan rumah kedai/pejabat, blok pejabat, podium perdagangan dan perumahan kos rendah.   

    

Menurutnya menerusi bancian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBK) terdapat 114 (keluarga) setinggan di tapak projek itu.

    

"Prihatin dengan masalah (penduduk) ini DBKL telah mengarahkan pemaju SRSB (Sentul Raya Sdn Bhd) turut membina 150 unit rumah kos rendah di atas sebahagian tanah DBKL," kata Saravanan dalam satu sidang media bersama penduduk Kampung Railway di ibunegara hari ini.

Menurutnya projek terbabit bakal dimulakan tidak lama lagi dan mengambil masa tiga tahun manakala nilai pasaran rumah kos rendah itu mencecah sehingga RM90,000 seunit.

    

"Saya telah meminta kepada harga RM45,000, mereka telah bersetuju, bantuan kewangan juga akan diberi kepada penduduk yang layak," kata Saravanan.

Beliau berkata, ini merupakan peluang keemasan kepada penduduk Kampung Railway khususnya kaum India untuk memiliki aset sendiri dengan kos yang paling minimum hasil bantuan Kerajaan.

- Bernama

ADS