Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong mendesak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memberi jawapan berhubung pertemuan mereka pada 7 November tahun lalu.

Pertemuan itu membincangkan sembilan rungutan pemandu teksi limo di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) yang antara lain mengenai dakwaan kontrak sewa beli yang terlalu tinggi serta bayaran penalti tertentu jika gagal ikut peraturan.

NONE Selain itu, pemandu didakwa diberikan insurans '3rd party' jika berlakunya kemalangan, dikenakan caj RM6 jika mengambil penumpang sendiri, jika tidak akan didenda RM1,000 serta harga tiket dipotong bagi membayar saman trafik tanpa memaklumkan kepada pemandu.

"Tidak perlu kepada orang tengah untuk gubal peraturan kepada pemandu (teksi).

"Saya menganggap peranan SPAD sebagai penggubal peraturan (perlu bertindak) demi menjaga kepentingan syarikat, pemandu dan kepentingan awam.

"Mereka kena pastikan kualiti perkhidmatan didahulukan demi kepentingan bersama," katanya ketika ditemui Malaysiakini baru-baru ini.

Pemimpin DAP itu berkata setakat ini, walaupun hampir lebih dua bulan pertemuan itu berlangsung, Chin Tong masih belum menerima sebarang maklum balas.

Pertemuannya dengan seorang pegawai SPAD berlangsung selama setengah jam pada awal November tahun lalu di pejabat SPAD.

"Tidak ada keputusan (pada tarikh tersebut) dan mereka pun tidak menghubungi saya," katanya.

NONE Chin Tong berkata beliau dimaklumkan rungutan pemandu teksi limo yang terpaksa bekerja lebih masa untuk mendapatkan pendapatan lebih ekoran persaingan dengan teksi bandar.

Menurutnya, teksi bandar yang kini boleh mengambil penumpang di lapangan terbang antarabangsa itu berbanding sebelum ini tidak dibenar berbuat demikian.

"Kos sewa beli kereta tinggi, tetapi pendapatan kurang. Kurang pendapatan, sebab teksi bandar masuk lapangan terbang. Dulu tak boleh, sekarang boleh ambil penumpang.

"Syarikat mengambil keuntungan daripada daripada kerja keras pemandu. Jangan buat mereka seperti robot," katanya.

Chin Tong berkata pada kebiasaannya, pemandu teksi limo membawa penumpang ke bandar tertentu sebanyak lima trip sehari bagi membolehkan mereka membayar sewa beli berjumlah RM153.69 sehari kepada syarikat dan menampung perbelanjaan seharian.

NONE Bagaimanapun, pemandu teksi juga terpaksa membayar kadar sewa itu sekalipun ada di kalangan mereka yang demam atau terlibat dengan kemalangan sehingga tidak dapat bertugas pada hari tersebut.

Sehubungan itu, beliau menanggap perjanjian antara syarikat dan pemandu sebagai berat sebelah termasuklah risiko berdepan dengan denda tertentu jika didakwa melanggar peraturan.

Chin Tong mencadangkan agar permit teksi diberikan kepada individu dan bukannya kepada syarikat bagi mengelakkan berlakunya monopoli satu pihak.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar dilaporkan berkata pihaknya masih melakukan kajian mengenai pemberian permit teksi individu dan menyemak semula kadar pajakan (sewa beli) teksi untuk diseragamkan pada masa depan.

ADS