Polis menahan seramai tujuh orang pemerhati pilihan raya bawah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang membuat pemantauan di dua lokasi, masing-masing di Melaka dan di Kuala Lumpur semalam.

Kumpulan yang dikenali dengan nama Pemerhati Pilihan Raya (PEMANTAU) itu dalam satu kenyataan menyebut, dua pemerhati PEMANTAU ditahan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Beruang, Ayer Keroh Melaka dan di jangka akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Melaka.

Dalam kenyataan lewat malam tadi, PEMANTAU menyebut lima lagi pemerhati PEMANTAU ditahan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Nan Yek Lee Rubber, Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan telah disiasat di bawah Seksyen 341 Kanun Keseksaan kerana membuat halangan salah.

"Mereka tidak boleh dihubungi peguam seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 28 A Kanun Prosedur Jenayah. Mereka masih di balai polis Taman Setapak.

"Pemerhati PEMANTAU juga telah dihalau keluar daripada pusat mengundi di Pekan, Temerloh dan Danau Kota oleh perusuh yang dipercayai daripada BN," kata PEMANTAU.

Menurut NGO itu lagi, pemerhatinya melihat bahawa dakwat kekal yang digunakan dalam pilihan raya itu boleh ditanggalkan dalammasa beberapa minit selepas mengundi dengan menggunakan air dan sabun.

[Baca berita penuh]