Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam sebarang bentuk provokasi serta kenyataan-kenyataan berbau perkauman yang diketengahkan pasca pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang baru sahaja berakhir.

"ABIM menilai kenyataan-kenyataan tersebut seakan-akan menafikan suara dan aspirasi rakyat Malaysia secara keseluruhannya yang telah mengemukakan undi mereka dalam pilihanraya lalu," kata Presidennya, Amidi Abd Manan dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, PRU13 menyerlahkan hakikat bahawa trend ataupun pola pengundiaan kali ini tidak semata-mata dipengaruhi sentimen perkauman sempit.

Sebaliknya, tegas beliau, keputusan PRU13 menzahirkan sentimen seluruh rakyat Malaysia melangkaui ras perkauman semata-mata.

'Hakikat ini merujuk kepada fakta dan statistik oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sendiri serta kesimpulan institusi dan para penganalisis politik yang berwibawa. Pilihanraya adalah hari kebesaran suara rakyat," tambahnya.

Ketika inilah, tegas Amidi, rakyat berpeluang menyambung hak serta kebebasan mereka menyatakan pandangan serta menentukan masa depan mereka.

"Demokrasi adalah mekanisme penting dalam menjamin keseimbangan dan kestabilan sosio politik sesebuah negara dapat dipenuhi.

"Keharmonian dan kestabilan politik hanya akan tercapai sekiranya aspirasi serta suara setiap segmen masyarakat yang ada dalam sesebuah negara. Masyarakat Melayu merupakan teras utama politik di tanah air ini.

"Kerangka pemikiran politik Melayu seharusnya merujuk kepada Islam yang merupakan esensi utama jati diri Melayu itu sendiri. Islam menolak sebarang bentuk diskriminasi rasis yang emosi serta sempit," katanya.

PRU13, tegasnya, telah menyaksikan peratus keluar mengundi paling tinggi dalam sejarah demokrasi Malaysia.

"Mengambil kesempatan ini, ABIM merakam ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia di atas keprihatinan yang tinggi terhadap amalan demokrasi di negara ini.

"Sesungguhnya PRU13 merupakan kemuncak kepada manifestasi kesedaran politik yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia.

"Seharusnya suara rakyat ini dihormati serta dimartabatkan menerusi lunas-lunas keterbukaan yang dianjurkan dalam demokrasi.

"Sebarang usaha untuk mengaitkannya dengan konspirasi perkauman serta keagamaan yang sempit adalah bersifat “Intellectual Insult” serta hanya akan menjejaskan kestabilan serts keharmonian kaum di negara in," tegasnya.