Pasukan Polis Singapura (SPF)  berkata pihak berkuasa telah mengambil tindakan membatalkan pas kerja seorang daripada 21 rakyat Malaysia kerana terlibat dalam perhimpunan haram pada hari Rabu dan Sabtu lalu.

    

Selain itu, SPF berkata pihak berkuasa telah membatalkan pas lawatan dua daripada mereka yang menyertai perhimpunan Sabtu lalu.

NONE Bagi baki 18 individu lagi, SPF berkata pas kerja mereka akan disemak semula sebaik sahaja siasatan lanjut selesai, katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, SPF akan memberi amaran bersyarat kepada

kesemua rakyat Malaysia yang menyertai perhimpunan haram di Merlion Park Sabtu lalu.

    

Menurut SPF, majikan mereka akan dimaklumkan mengenai perkara itu.

    

Ini berikutan amaran bersyarat telah diberi kepada sembilan individu yang mengambil bahagian dalam perhimpunan haram di lokasi sama Rabu lalu.   

 

Polis juga menegaskan Singapura tidak memihak kepada mana-mana parti politik di negara lain, dan akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang membentuk kerajaan di negara itu.

    

Katanya warga asing yang tinggal atau bekerja di Singapura perlu mematuhi undang-undang Singapura dan tidak membawa masuk isu-isu politik di negara asal mereka ke Singapura.

    

SPF berkata ini merupakan prinsip yang dipegang sekian lama yang telah membantu mengekalkan keharmonian dan ketenteraman awam di Singapura serta hubungan baik dengan negara-negara lain.

- Bernama