BERITA

Phahrolrazi: Letak jawatan bukan protes

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Mei 2013, 8:15 pagi

ADUN Pengkalan Kundor Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata "tidak ada sebab" beliau mahu memprotes pelantikan Datuk Mahfuz Omar sebagai pesuruhjaya PAS Kedah sehingga memutuskan melepaskan jawatannya sebagai timbalan pesuruhjaya 1 PAS negeri itu.

Sebaliknya, beliau menyokong keputusan PAS pusat yang mempunyai hak untuk melantik Mahfuz yang juga naib presiden PAS untuk memegang jawatan tersebut.

NONE "Saya sokong perlantikan Datuk Mahfuz dan (peletakan jawatan) ini cara saya beri kerjasama supaya beliau tidak terikat dengan lantikan pesuruhjaya terdahulu.

"Tiada sebab saya nak protes, itu hak jawatankuasa PAS pusat buat pelantikan pesuruhjaya," kata Phahrolrazi dalam kiriman SMS kepada Malaysiakini hari ini.

Katanya, beliau telah menghantar surat perletakan jawatannya kepada Setiausaha Perhubungan PAS Kedah

Musoddak Ahmad kelmarin dan memaklumkan hasratnya itu dalam mesyuarat lajnah politik malam tadi.

Hujung minggu lalu, jawatankuasa PAS pusat bersidang memutuskan untuk melantik Mahfuz sebagai pesuruhjaya PAS Kedah yang baru bagi menggantikan Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang keuzuran.

NONE Pada pilihan raya umum 5 Mei lalu, PAS dan Pakatan Rakyat negeri itu gagal mempertahankan kerajaan negeri itu apabila hanya menang 15 daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan. Manakala BN pula menang 21 kerusi.

Ditanya sebab utama beliau melepaskan jawatan yang dipegangnya sejak 2009, Phahrolrazi berkata jawatan tersebut adalah lantikan pesuruhjaya PAS negeri dan bukan dipilih melalui undi ahli akar umbi.

"Jadi (peletakan jawatan untuk) beri laluan kepada Datuk Mahfuz melantik orang yang boleh bekerjasama dan dipercayai untuk melaksana misi beliau (sebagai pesuruhjaya)," katanya.

Mengulas laporan yang memetik Mahfuz tidak berhasrat untuk membuat rombakan kepimpinan PAS, Phahrolrazi berkata perkara tersebut berada dalam bidang kuasa pesuruhjaya.

Bagaimanapun, katanya, Mahfuz yang juga naib presiden PAS boleh melantik sesiapa sahaja untuk mengisi jawatan timbalan pesuruhjaya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.