Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali hari ini berkata, beliau bersedia menjadi orang pertama di dalam Pakatan Rakyat untuk mengadakan dialog bersama BN bagi membincangkan tentang pelbagai isu semasa demi kepentingan rakyat.

Bagaimanapun Azmin menegaskan, dialog yang perlu dilakukan bukan bertujuan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

"Saya mengambil inisiatif untuk mengesyorkan dialog ini bukan soal kepartian tapi ini soal kepentingan rakyat, keselamatan dan kemakmuran negara.

"Saya sedia untuk menganjurkan dialog. Saya bukan bercakap mengenai kerajaan perpaduan. Tidak. Saya orang yang pertama menghalang dan bantah," katanya dalam sidang media selepas merasmikan kongres nasional Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR kali ke-9 di Petaling Jaya hari ini.

Selain itu, tambahnya lagi dialog tersebut juga bagi mengadakan perbincangan bukan sahaja mengenai penipuan pilihan raya tetapi turut membincangkan tentang ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

"Sekurang-kurangnya kita ada dialog perbincangan. Saya percaya semua pihak termasuk NGO boleh menyumbang ke arah demi kebaikkan. Lima tahun besok kita lawanlah pula," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dialog tersebut perlu dilakukan sebagai satu langkah kehadapan selain daripada melakukan perhimpunan aman.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau akan hadir pada perhimpunan esok, Azmin berkata : "Yang saya dah hadir perhimpunan dah 15 tahun, bila saya tak hadir satu kali, riuh satu dunia.

"Saya sebut kita mesti teruskan perhimpunan aman untuk menyokong kehendak rakyat. Tapi pada masa sama saya juga percaya yang kita patut bergerak kehadapan seperti yang dikatakan dalam manifesto," tambahnya.

Pada 8 Mei lalu, Azmin menulis dalam pesanan tweet beliau yang sinis terhadap perhimpunan mempertikaikan keputusan pilihan raya ke-13 di Kelana Jaya.

Dalam pesanan tweet itu beliau merasakan terdapat kaedah lain yang lebih baik untuk menguruskan isu penipuan pilihan raya.

ADS