DAP membidas langkah kerajaan untuk menambahkan bilangan Sekolah Wawasan walaupun langkah itu ditolak oleh banyak pihak, termasuk pengundi dalam pilihanraya kecil Lunas, Kedah tahun lalu.

"Jelas kerajaan Barisan Nasional enggan belajar daripada (kekalahannya dalam) pilihanraya kecil Lunas November lalu dan masih berdegil untuk melaksanakannya secara lebih besar di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK 8)," kata Pengerusinya Lim Kit Siang.

Dalam pilihanraya itu, calon Parti Keadilan Nasional mengalahkan calon MIC dengan majoriti lebih 500 undi dan kemenangan itu dipercayai akibat peralihan sokongan pengundi Cina yang membantah konsep Sekolah Wawasan.

Dalam RMK 8 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat pagi ini, kerajaan bercadang meningkatkan bilangan Sekolah Wawasan dan kegiatan yang memupuk perpaduan di kalangan pelajar dilaksanakan bagi mengukuhkan perpaduan negara.

Bekas Ketua Pembangkang itu menambah, masyarakat Cina negara ini menyokong sepenuhnya usaha kerajaan menggalakkan perpaduan di kalangan pelbagai kaum, tetapi langkah ini tidak harus mengorbankan pelbagai budaya, agama dan bahasa setiap kaum.

Lim turut menggesa pemimpin parti-parti yang mewakili kaum Cina dalam kerajaan seperti MCA, Gerakan dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) agar mendesak kabinet membuang cadangan itu kecuali selepas mendapat persetujuan semua kaum.

Parti-parti itu, tambahnya, harus menjelaskan alasan mengapa mereka bersetuju menerima cadangan untuk menambahkan bilangan Sekolah Wawasan dalam rancangan kerajaan itu walau mereka sedar bantahan orang ramai terhadap idea itu.

"Seorang menteri MCA pernah mencadangkan selepas pilihanraya kecil itu supaya Sekolah Wawasan dipertimbangkan semula oleh kerajaan Barisan Nasional tetapi saranan ini telah ditolak Presiden MCA, Datuk Seri Ling Liong Sik," katanya lagi.

Beliau juga melahirkan rasa kesal, walaupun tanpa perundingan dan persetujuan pelbagai kumpulan masyarakat, kerajaan tetap meneruskan konsep Sekolah Wawasan dalam RMK 8.