Baha: Wujudkan badan tangani masalah dasar kebudayaan
Sasterawan Negara ke-12 Datuk Baharuddin Zainal atau nama penanya, Baha Zain, mencadangkan agar kerajaan mewujudkan badan kehormat (pemikir, pemimpin, ilmuwan, pakar dan cendekiawan) bagi membantu menangani pelbagai masalah berkaitan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.
Beliau berkata perkara itu bertepatan dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan penyatuan nasional selepas pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lepas, iaitu mewujudkan muhibah, permuafakatan dan perdamaian dalam kalangan masyarakat.
"Tepatlah pada waktunya Dasar Kebudayaan Kebangsaan dijadikan panduan dan usaha memperkukuh perpaduan, membangunkan tamadun dan memelihara keperibadian bangsa kita," katanya dalam ucapan penerimaan beliau sebagai Sasterawan Negara ke-12 pada majlis penganugerahan Sastera Negara di ibu negara malam tadi.
Pada majlis itu, Baharuddin menerima anugerah berkenaan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Beliau turut merayu agar gagasan transformasi dan strategi pembangunan negara memperbanyak ikhtiar serta usaha berkesan bagi menjadikan rakyat negara ini bangga dengan tradisi dan warisannya.
Katanya, ini akan menjadikan rakyat Malaysia manusia yang bijaksana menghadapi cabaran moden.
"Semangat dan roh Perlembagaan harus menjadi inspirasi serta panduan bagi sebarang perancangan kebudayaan.
"Kemerdekaan politik dan pembangunan ekonomi tanpa kesedaran sejarah, tanpa kesegaran budaya, agama dan kemajuan bahasanya bukan sahaja tempang pada pandangan, cacat dalam pertimbangan, cela pada jati dirinya, malahan menunjukkan kelalaian yang mengaibkan bagi sebuah bangsa yang merdeka," katanya.
Baharuddin juga berkata bahasa dan kebudayaan membezakan tamadun sesuatu bangsa dengan yang lain.
-Bernama

